Azmin diminta muhasabah diri

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
A
A
A

IPOH- PKR Perak meminta Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar bermuhasabah diri dan menerima pelantikan individu dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kerana mereka bukan musuh parti atau daripada kalangan ahli BN dan Umno.

Pengerusi Keadilan Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata mereka yang dilantik merupakan rakan seperjuangan dalam parti dan perbezaan pendapat tidak harus dijadikan permusuhan kekal.

"Kekuatan parti kita dalam PH harus dikekalkan dengan cara merapatkan saf-saf di dalam parti," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang meminta Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meneliti semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, pelantikan yang diumumkan tidak mencerminkan prinsip adil dan saksama terhadap aspirasi anggota serta tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan.

Semalam, Anwar dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di samping dua lagi nama sebagai naib presiden parti dan beberapa pelantikan bagi jawatan lain dalam MPP PKR.

Turut diumum pelantikan semula Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Setiausaha Agung parti.

Farhash Wafa Salvador berkata keputusan presiden adalah tepat dalam usaha menjadikan parti itu lebih inklusif berbanding eksklusif serta dapat memastikan kesinambungan di dalam parti.

Artikel Berkaitan:

Katanya pemilihan lepas menyaksikan banyak jawatan dimenangi pasukan Azmin dan dengan kemasukan lantikan baharu keseimbangan serta perpaduan dalam kalangan ahli parti dapat dikekalkan.

"Pemilihan parti satu amalan demokrasi dan ia akan melihat satu 'natural death' jika kita mula menghukum pesaing kita yang juga rakan seperjuangan dalam parti.

"Keputusan pemilihan tidak boleh dijadikan sebagai hukuman dan pengukur Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu yang dilantik," katanya.

Farhash Wafa Salvador berkata PKR Perak secara konsensus berpendapat keputusan Anwar tepat dan tidak menjerumus parti ke arah 'excessive politics' dan meminta Azmin mengkaji semula kenyataannya.- Bernama