X

Kindly register in order to view this article
!

Batik PPDK Merbok sampai ke Jepun

Antara batik yang dihasilkan PPDK Merbok.
A
A

MERBOK - Produk batik hasil karya pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Merbok bukan sahaja diiktiraf pasaran tempatan malah telah melepasi ke negara matahari terbit.

Penyelia PPDK Merbok, Norliza Md Akhir berkata, apa yang dibanggakan, katanya, kesemua produk terbabit mendapat sentuhan sepenuhnya pelatih orang kurang upaya (OKU) melalui idea dan persembahan tersendiri yang diluahkan ke atas hasil karya mereka.

Menurutnya, setakat ini, produk batik yang dihasilkan PPDK Merbok termasuk furoshiki iaitu kain yang disimpulkan untuk dijadikan beg (tradisi orang Jepun), butang, hiasan rambut dan kain yang telah dicanting serta siap diwarnakan telah berada di Jepun sebagai pameran dan jualan.

"Kami juga pernah hasilkan selendang, pelapik pinggan, hiasan dinding, baju kemeja dan beg pelbagai guna berasaskan kain bercorak batik untuk pameran dan jualan tempatan," katanya.

Akane menunjukkan kegunaan kain batik yang disimpulkan menjadi furoshiki manakala gambar kanan, hiasan dinding yang dihasilkan PPDK Merbok.
Akane menunjukkan kegunaan kain batik yang disimpulkan menjadi furoshiki manakala gambar kanan, hiasan dinding yang dihasilkan PPDK Merbok.

Menurut Norliza, hasil kreativiti dan kualiti produk batik yang dihasilkan mereka, turut menarik perhatian orang kenamaan dan golongan diraja untuk membuat tempahan dijadikan cenderahati mahupun kenang-kenangan.

"Harga yang ditawarkan bergantung kepada produk dihasilkan, antara RM3 seunit sehinggalah mencecah ke ratusan atau ribuan ringgit," katanya.

Norliza berkata, idea mengkomersialkan produk batik tercetus setelah beliau dipilih mewakili Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia mengikuti Kursus Bantuan Orang Kurang Upaya Akal ke Jepun pada 2003.

"Bermula modal RM500, kami belajar sendiri melalui media sosial sebelum dipraktikkan kepada pelatih, lama-kelamaan belajar sedikit demi sedikit sehinggalah timbul minat dan keseronokkan dalam diri mereka," katanya.

Pelatih PPDK Merbok, Mohd Luqman Shamsudin, 23, yang ditugaskan menghasilkan batik.
Pelatih PPDK Merbok, Mohd Luqman Shamsudin, 23, yang ditugaskan menghasilkan batik.

Menurut beliau, aktiviti mencanting juga merupakan salah satu cara pelatih mengekspresikan luahan mereka melalui lukisan batik, menghilangkan tekanan, rehabilitasi serta mengembangkan kemahiran.

Norliza berkata, produk batik PPDK akhirnya mula mendapat tempat di sebuah kiosk di Jepun pada 2013, setelah 10 tahun menceburi bidang itu.

"Dua tahun kemudian, produk kami berjaya ditempatkan di Galeri Hippo Tokyo pada Mei 2015.

"Pada 2017, kita sekali lagi menerima peluang untuk menempatkan produk batik di Galeri Batik Canting di Kobe, Jepun pada Jun 2017," katanya.

Menurutnya, usaha berkenaan juga mendapat sokongan padu daripada Japan International Coorperation Agency (JICA) yang membantu dari segi sokongan dan bantuan sehingga berjaya memberi keyakinan dalam membangunkan produk OKU.

Dari kiri Norliza, Akane dan Azizah berbincang mengenai usaha untuk mempelbagaikan produk batik ke Jepun.
Dari kiri Norliza, Akane dan Azizah berbincang mengenai usaha untuk mempelbagaikan produk batik ke Jepun.

Norliza bagaimanapun beruntung apabila JICA menempatkan sukarelawannya, Akane Miyachi, 25, yang banyak membantu dari segi pemasaran dan jualan produk batik PPDK Merbok ke Jepun.

Menurut Akane, produk batik yang dihasilkan merupakan salah satu cabang kesenian, mempamerkan budaya tersendiri selain membawa imej Malaysia ke luar negara.

"Orang Jepun sudah tentu tertarik dengan produk batik dari Malaysia, tambahan pula ia dihasilkan oleh golongan kurang upaya, bernilai tinggi untuk dipasarkan," katanya.

Menurutnya, hiasan batik boleh digunakan dengan pelbagai cara dan persembahan selain rekaannya kreatif dan menarik jika dibuat perhiasan.

Antara beg uncang, butang dan hiasan rambut yang dihasilkan melalui kain batik telah siap bagi memenuhi permintaan pasaran Jepun.
Antara beg uncang, butang dan hiasan rambut yang dihasilkan melalui kain batik telah siap bagi memenuhi permintaan pasaran Jepun.

Beliau kini sedang bekerjasama mempromosikan produk batik PPDK Merbok kepada pelancong luar negara selain memperkukuhkan pasaran batik di Jepun.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PPDK Merbok, Azizah Yusof berkata, banyak perancangan disusun bagi memastikan kesinambungan batik terus diusahakan, bukan sahaja mempelbagaikan kemahiran OKU, namun mampu menjana pendapatan.

Akane menunjukkan ikatan kain bagi menghasilkan furoshiki.
Akane menunjukkan ikatan kain bagi menghasilkan furoshiki.

"Kita akan mempertingkatkan lagi produktiviti, mencipta kelainan serta mempelbagaikan produk sebagai tarikan pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Dalam masa sama, kita mengharapkan masyarakat turut memberikan sokongan dalam memartabatkan produk OKU ke peringkat lebih tinggi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus