Pengadu cuba rogol, cabul kehormatan isteri, dakwa Farhash Wafa

Farhash Wafa
Farhash Wafa
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menjelaskan insiden pergaduhan di Ampang, Sabtu lalu kerana lelaki terbabit pernah cuba merogol dan mencabul isterinya dua tahun lepas.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak polis berhubung kejadian tersebut.

"Saya terpanggil untuk menjelaskan mengenai insiden yang berlaku pada 31 Ogos 2019 di Ampang.

"Laporan polis yang dibuat adalah ke atas nama adik saya namun saya sedia untuk memberi kerjasama sekiranya perlu.

"Saya ingin maklumkan yang pengadu cuba merogol dan mencabul kehormatan isteri saya dua tahun lalu dan dia juga pernah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas cubaan ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hari ini, polis meminta Farhash Wafa, 37, tampil membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan di sebuah kompleks sukan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Farhash Wafa dipercayai merupakan seorang suspek yang terlibat dalam satu insiden mendatangkan kecederaan terhadap seorang individu lelaki tempatan.

Dalam kejadian berlaku pada 31 Ogos jam 9 malam itu, satu kejadian rusuhan bersenjata telah berlaku yang melibatkan seramai lebih 12 lelaki tempatan.

Artikel Berkaitan:

Kejadian dipercayai bermula apabila suspek terserempak dengan mangsa dan menolak mukanya sehingga berlakunya satu kekecohan.

Pihak pengurusan kompleks bagaimanapun meminta suspek dan mangsa supaya beredar.

Menurut Fadzil, mangsa telah pergi ke tempat letak motosikal di luar kompleks sukan berkenaan dan didatangi 10 lelaki yang menyerangnya.

Mangsa telah diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi.

Tiga rakan mangsa cuba meleraikan insiden itu namun gagal.

Katanya, mangsa telah mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang dan luka anggota badan.