Jangan jemu terap semangat patriotik

Wan Hassan (dua dari kiri) berdoa bersama peserta sebelum pelepasan Konvoi Kemerdekaan KNCK 2019 semalam.
Wan Hassan (dua dari kiri) berdoa bersama peserta sebelum pelepasan Konvoi Kemerdekaan KNCK 2019 semalam.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kecintaan terhadap negara dan kebangkitan semangat patriotik dalam diri generasi baharu perlu disemai secara berterusan tanpa rasa jemu bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan anasir luar yang cuba menjejaskan perpaduan dalam negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, walaupun rakyat meraikan kemerdekaan setiap tahun, namun kesedaran menghargai dan menghayati erti kemerdekaan perlu sentiasa ditingkatkan.

Menurutnya, kegagalan menyemarakkan semangat cintakan negara kepada rakyat boleh memberi impak buruk dalam menjamin kestabilan dan keharmonian di negara ini.

"Pelbagai anasir luar dan negatif boleh meracuni minda anak muda pada bila-bila masa sahaja sebab itulah kita kena meningkatkan kesedaran mereka.

"Kita mahu membina generasi yang bersyukur dengan nikmat kemerdekaan," katanya selepas menyempurnakan pelepasan peserta Konvo Kemerdekaan Kelab Naza Citra Kelantan (KNCK) 2019 di Tok Bali di sini semalam.

Konvoi 30 kenderaan membabitkan lebih 100 peserta itu memilih Pantai Penarik, Terengganu sebagai destinasi utama.

Presiden KNCK, Asmanizan Abdul Hadi berkata, konvoi itu merupakan aktiviti tahunan kelab sebagai menyemarakkan sambutan kemerdekaan dan sebagai sumbangan ahli kelab kepada negara.

"Kami mahu terus menjadi komuniti sihat yang menyumbang kepada usaha menyemai nilai murni rakyat negara kita yang tercinta ini," katanya.

Artikel Berkaitan: