Farhash dakwa jadi mangsa fitnah

Farhash Wafa Salvador
Farhash Wafa Salvador
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yakin mesej fitnah yang mendakwa dirinya terlibat dalam satu kes pergaduhan merupakan perbuatan musuh politik.

"Ya, pasti (perbuatan musuh politik), ramai yang dibayar untuk buat tohmahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Perak itu turut mengesahkan bahawa mesej yang tular sepanjang hari ini adalah palsu dan tidak benar.

Ketika ditanya tindakannya terhadap penyebaran mesej fitnah itu, Farhash Wafa Salvador berkata, dia tidak mahu melayan semua tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Tunku Nashrul Tunku Abaidah turut menafikan perkara tersebut.

"Kejadian yang didakwa dalam mesej ini memang tidak benar," kata beliau.

Hari ini, tular satu mesej yang mendakwa Farhash Wafa Salvador ditahan polis berhubung satu kes pergaduhan di sebuah gimnasium di Ampang pada 31 Ogos lalu.

Mesej itu mendakwa dia telah memukul seorang lelaki hingga cedera teruk kerana tidak berpuas hati selepas kalah dalam kes saman membabitkan lelaki itu.

Artikel Berkaitan:

Kata mesej itu lagi, laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan laporan yang sudah dibuat itu tidak boleh ditarik balik.

"Namun ketika ini, saat ini, dilaporkan polis berada di banglo Anwar Ibrahim di Jalan Gasing untuk soal siasat Farhash.

"Pihak media boleh hubungi dan bertanyakan pada pihak polis berkenaan isu ini jika nak tahu lebih lanjut," jelas mesej itu.

Bagaimanapun, Sinar Harian masih belum dapat pengesahan daripada pihak polis berhubung perkara tersebut.