Piagam UMNO-Pas tidak pinggir, nafi hak kaum lain

Dari kiri: Pengacara TV, Saiful Nizam Ismail; Pakar Perlembagaan, Tan Sri Dr Rais Yatim; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Suruhanjaya Diraja Wang Kelian, Dr Tan Seng Giaw bersama Ahli Sosiologi Politik USM, Prof Dr Sivamurugan Pandian pada program Wacana Sinar bertajuk 'Perpaduan Kaum Di Malaysia: Makin Kukuh atau Makin Jauh?', hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama UMNO dan Pas menerusi piagam pada 14 September ini tidak akan mencampuri, mempersoalkan dan menafikan hak kaum lain di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana piagam tersebut dibuat berlandaskan kepada asas dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia menjadi tunjang utama.

Menurutnya, kerjasama tersebut bukan kali pertama kerana ia pernah berlaku pada 1974 selepas tragedi 13 Mei 1969 di mana wujud kesedaran dalam kalangan orang Melayu Islam untuk bersatu dan ia diterjemahkan dalam gabungan baharu selepas Perikatan iaitu Barisan Nasional (BN).

"Bahkan lambang dacing yang dipersetujui untuk digunakan oleh BN itu adalah cetusan daripada Presiden Pas ketika itu, Allahyarham Dr Asri yang merupakan terjemahan kepada keseimbangan dan keadilan bagi meraikan kepelbagaian serta kemajmukan rakyat dalam konteks Malaysia.

"Hari ini suasana menyedihkan berlaku dalam kerangka dan penyatuan antara kaum serta agama. Maka UMNO dan Pas sekali lagi berbincang dan memikirkan sudah masanya selepas berpuluh tahun dua parti terbesar mewakili Melayu berbalah sehingga ada ahli keluarga berpecah. Sesebuah negara apabila kaum majoiritinya berpecah-belah ia memberi implikasi kepada keharmonian," katanya pada Wacana Sinar Harian Ke- 124, Perpaduan Kaum Di Malaysia: Makin Kukuh Atau Makin Jauh? di Dewan Karangkraf, di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan kerjasama yang dijalankan ini, MCA dan MIC merupakan pendokong utama kerana mereka memahami mesej yang disampaikan tentang hak setiap bangsa dan agama kaum lain.

"Kalau kita lihat sejak 1974 di mana penubuhan BN sehingga parti ini kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) suasana berkaitan soal perpaduan dan keharmonian kaum bertambah baik. Ia positif.

"Bahkan tidak ada insiden seperti yang berlaku di Kuil Seri Maha Mariamman. Kalau pun ada perbalahan tidak melibatkan kes sebesar ini dan diselesaikan dengan baik. Sikap pemimpin yang sengaja mencetuskan kemarahan dan kebencian ini menjadi punca kepada perkara tidak diingini.

"Kalau pemimpin ini bertanggungjawab, mereka sudah menutupnya dengan tidak mengeluarkan kenyataan melibatkan kemarahan kaum kepada kaum lain sedangkan ia tiada kaitan. Sebab itu permuafakatan nasional ummah ini kita ingin tegaskan bahawa kita tidak merampas hak kaum lain, bahkan kita mengiktiraf mereka," katanya.