DTA kurangkan ketidakseimbangan dagangan Malaysia-Kemboja: PM

Tun Dr Mahathir (tengah) menghadiri dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia, melibatkan 28 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja hari ini. - Foto BERNAMA
A
A

PHNOM PENH - Pemeteraian perjanjian pengecualian cukai berganda (DTA) yang dimuktamadkan antara Malaysia dan Kemboja mampu membuka dimensi baharu perdagangan antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, DTA dapat memudahkan aktiviti perniagaan dan pelaburan dan sekali gus dapat mengurangkan ketidakseimbangan dagangan antara Malaysia-Kemboja.

“Ramai rakyat Malaysia yang berniaga dan melabur di Kemboja dan mereka terpaksa menanggung cukai yang tinggi dan ini merugikan. Maka, dengan pemeteraian DTA, ia dapat mengurangkan beban kos yang akan ditanggung ahli perniagaan dan pelabur Malaysia.

“Dengan pemeteraian DTA, sepatutnya akan ada lebih banyak rakyat Malaysia melabur di Kemboja. Ini juga akan mengurangkan ketidakseimbangan dalam perdagangan di mana Kemboja mengalami defisit dari segi perdagangan dengan Malaysia,” katanya kepada pemberita bersempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Kemboja.

Kemboja merupakan negara ASEAN terakhir untuk menandatangani DTA dengan Malaysia.

Dr Mahathir juga menyarankan usahawan dan pelabur Malaysia merebut peluang untuk menerokai bidang dan sektor perniagaan dan pelaburan baharu di Kemboja termasuk penyediaan bekalan air bersih dan terawat.

“Kemboja kekurangan air bersih. Ia mempunyai banyak sungai yang besar tetapi tiada projek yang menyediakan bekalan air bersih di negara itu.

“Selain itu, Kemboja juga terpaksa membeli minyak dan gas dari luar negara kerana tiada pengeluaran. Sehubungan itu, mereka minta Petronas untuk membangunkan industri minyak dan gas.

"Ini peluang yang cukup baik untuk syarikat Malaysia mengembangkan operasi mereka di Kemboja," katanya.

Kini, terdapat lebih 400 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja dalam pelbagai bidang termasuk perbankan, telekomunikasi, perhotelan dan makanan.

Dr Mahathir juga menyarankan usahawan Malaysia agar lebih berani menerokai peluang perniagaan dan pelaburan di peringkat global dalam usaha memperkukuh eknomi Malaysia.

Perdana Menteri yang diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan dan Antarabangsa Datuk Darell Leiking, akan mengakhiri lawatan rasmi tiga hari itu esok.

Dr Mahathir akan berlepas ke Valdivostok, Rusia bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur 2019. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia