X

Kindly register in order to view this article
!

26 pekerja kilang sesak nafas, gas ammonia bocor

Sebahagian pekerja yang berkumpul di luar kilang terbabit ketika insiden itu.
A
A

JASIN - Seramai 26 pekerja termasuk 20 wanita dan enam lelaki berusia 20 hingga 40-an sesak nafas selepas terhidu gas ammonia bocor di sebuah kilang memproses ayam di Merlimau, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 16 pekerja termasuk 12 wanita dikejarkan ke Hospital Jasin manakala sepuluh pekerja termasuk lapan wanita dirawat di Hospital Melaka.

Kesemua mereka terdiri daripada warga tempatan dan warga asing kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya termasuk pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu lebih kurang jam 11.42 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kebocoran gas berlaku di salah satu paip yang menyalurkan gas tersebut bagi proses penyejukbekuan produk yang dihasilkan.

Katanya, kebocoran gas itu pertama kali dilaporkan di kilang terbabit dan ia disedari oleh seorang pekerja yang ternampak kepulan asap putih di bahagian pembuatan kilang yang terletak di bahagian belakang.

"Pihak kilang telah mengambil tindakan pantas menghantar pekerja yang terhidu gas itu untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital dan mereka masih lagi dirawat namun dalam keadaan stabil.

Afzanizar (tengah) pada sidang media kes kebocoran gas di sebuah kilang pemprosesan ayam di Merlimau, di sini hari ini.
Afzanizar (tengah) pada sidang media kes kebocoran gas di sebuah kilang pemprosesan ayam di Merlimau, di sini hari ini.

"Unit Hazmat Bomba telah pun berada di lokasi kejadian dan melakukan kerja-kerja menyahcemarkan kawasan yang dicemari gas dalam bangunan kilang, malah operasi kilang masih digantung bagi membolehkan kerja-jerja tersebut berjalan lancar," katanya.

Afzanizar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pusat kawalan operasi di pekarangan kilang berkenaan, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari dan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Anis Ali Hasan.

Tambah Afzanizar, orang ramai tidak perlu bimbang dan gusar terutama penduduk berhampiran kerana pemeriksaan bacaan tahap kualiti udara yang dilakukan bomba termasuk menggunakan 'gas detector' mendapati kawasan luar kilang dan persekitarannya bebas daripada gas berbahaya itu.

Menurutnya, lokasi yang berdekatan dengan beberapa sekolah dan kampung termasuk Kampung Seri Mawar tidak terjejas dan tiada arahan berpindah yang berlaku seperti yang ditularkan di media sosial.

"Saya minta masyarakat luar hentikan sebaran maklumat yang tidak tepat mengenai insiden ini kerana boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.

"Dalam masa sama, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja serta bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!