Suamiku jadi rebutan: Tunku Azizah

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
A
A
A

KEPRIHATINAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa kebakaran Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat, Tawau, semalam sedikit sebanyak mampu memulihkan semangat keluarga yang terjejas.

Menerusi video yang dikongsi laman rasmi Instagram Istana Negara jelas menunjukkan Seri Paduka sangat disayangi rakyat jelata apabila ramai mangsa kebakaran mengerumuni Al-Sultan Abdullah untuk bersua muka dan bersalam dengannya. Situasi tersebut tak ubah seperti peminat berjumpa dengan artis kesayangan mereka.

Lain pula ceritanya dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Sikap baginda yang gemar memuat naik kapsyen menghiburkan dan menarik menjadi bukti Tunku Azizah juga sangat dekat dengan rakyat.

Terbaharu, jawapan ringkas baginda kepada seorang pengguna Twitter telah mencuit hati ramai netizen.

"Sayang betul rakyat Sabah dengan Tuanku Agong," tulis ernamarleh yang turut berkongsi video ziarah Seri Paduka di Kampung Otentik. Tweet ernamarleh telah dibalas Tunku Azizah dengan "Suamiku jadi rebutan".

ARTIKEL BERKAITAN: Agong ziarah mangsa kebakaran di Tawau

Rata-rata pengikut Tunku Azizah terhibur dengan kapsyen baginda, malah ada juga yang mengatakan kapsyen tersebut seperti tajuk drama televisyen.

"Saya dari Singapura juga gemar membaca tulisan Tuanku Permaisuri di Twitter. Ceria dan adakalanya menghiburkan. Semoga Allah selalu merahmati @cheminahsayang sekeluarga dan rakyat Malaysia," tulis Nur Diyana.

Artikel Berkaitan:

"Bertuah Tuanku berdua, amat dikasihi rakyat dan rakyat menunjukkan rasa kasih mereka di mana saja Tuanku berdua berada," kata Hamdan Rukun.

"Bukan tuanku je Permaisuri. Tunku Permaisuri pun suri hati kesayangan rakyat. Ampun patik tuanku. Sayang tuanku," ujar Anastasiaenna.

"Amat jarang rakyat Sabah dan Sarawak dapat bersua muka dengan Agong. Ini menjadi keterujaan bagi rakyat Sabah/Sarawak," tulis Carl.

"Agong dan Permaisuri kali ini sungguh menarik," kata Sang Teruna.

"Bertuahnya kami rakyat Malaysia mempunyai Agong dan Permaisuri yang berjiwa rakyat," tulis Noorhaizaa Abdullah.

Setakat ini tweet Tunku Azizah tersebut telah mendapat lebih 10,300 retweet dan lebih 26,400 suka.

Dalam kejadian 26 Ogos lalu, sejumlah 69 rumah hangus dalam kebakaran dan mengakibatkan 511 orang tinggal sehelai sepinggang.