Elak kemalangan di lokasi pelancongan: Mohd Sharkar

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang meminta orang ramai khususnya yang berkunjung ke lokasi pelancongan terutama kawasan perkelahan mematuhi segala peraturan ditetapkan bagi mengelak kemalangan atau kejadian tidak diingini khususnya kes kematian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau dan meningkatkan mutu perkhidmatan, namun tidak menolak ciri-ciri keselamatan perlu turut diberi perhatian oleh pengunjung ketika melakukan aktiviti di kawasan terlibat.

Ini kerana menurutnya, kes-kes kemalangan bukan hanya berlaku boleh disebabkan ciri-ciri keselamatan dan perkhidmatan disediakan tidak mencukupi, malah turut dipengaruhi oleh kecuaian pengunjung sendiri.

"Kita harap pelancong lebih berwaspada dan ikut peraturan bagi mengelak kemalangan.

"Jangan buat perkara yang tidak sepatutnya, jangan terlalu berani dan ikut spesifikasi ditetapkan ketika melakukan sesuatu aktiviti," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berwaspada dan sedaya-upaya meningkatkan mutu perkhidmatan sedia ada termasuk meletakkan tanda amaran dan papan tanda di lokasi bahaya.

Beliau juga turut meminta kerjasama orang awam melaporkan segera sekiranya mendapati ciri-ciri bahaya di lokasi pelancongan.

"Pelbagai saluran boleh digunakan dan kita akan ambil tindakan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beberapa kes maut membabitkan kawasan pelancongan dilaporkan berlaku di Pahang minggu ini termasuk di Lata Hammer, Bentong dan Air Terjun Berkelah, Kuantan.

Terbaharu, dua penuntut Kolej Matrikulasi Pahang ditemui mati lemas di kawasan Air Terjun Berkelah Ahad lalu, manakala dua pengunjung di Air Terjun Lata Hammer maut dihempap pokok dan dua lagi cedera dalam kejadian semalam.