60,000 biji pil kuda bernilai RM600,000 dirampas

Aidi (tengah) menunjukkan sebahagian daripada pil kuda yang dirampas dalam serbuan kelmarin. Ada bersama, Ketua JSJN Terengganu, Superintendan Roslan Tahir (dua dari kiri).
Aidi (tengah) menunjukkan sebahagian daripada pil kuda yang dirampas dalam serbuan kelmarin. Ada bersama, Ketua JSJN Terengganu, Superintendan Roslan Tahir (dua dari kiri).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cubaan seorang tokan dadah melarikan diri ketika serbuan di Kampung Padang Machang, Manir di sini gagal apabila suspek ditahan bersama 60,000 biji pil kuda bernilai RM600,000 kelmarin.

Dalam operasi jam 7.30 malam, lelaki berusia 34 tahun itu cuba meloloskan diri selepas pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu menyerbu rumah keluarganya yang dipercayai menjadi lokasi pengedaran dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ketika pemeriksaan, suspek yang juga penganggur bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan di bahagian tangga rumah sebelum pemeriksaan ke atas tubuh badannya tidak menjumpai barang salah.

"Namun, hasil pemeriksaan di dalam bilik yang disaksikan suspek, polis menjumpai satu beg galas yang digantung di belakang pintu dan hasil kiraan dibuat mendapati sebanyak 24,000 biji pil kuda terdapat di dalam beg tersebut.

"Pemeriksaan seterusnya turut menjumpai satu kotak kertas di atas para kayu di tepi dinding bilik sama dan di dalamnya mengandungi sebanyak 36,000 biji pil kuda" katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Aidi berkata, seterusnya kesemua barang terlarang yang berjumlah keseluruhan 60,000 biji dirampas dan ia merupakan rampasan terbesar di negeri ini pada tahun ini.

Jelas beliau lagi, dengan kejayaan ini sekali gus dapat melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah jenis pil kuda bagi dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Artikel Berkaitan:

"Kegiatan suspek dibongkar hasil daripada maklumat yang diperolehi dan risikan dibuat pihak JSJN IPK Terengganu sejak sebulan lalu serta risikan akan diteruskan bagi mengesan jika terdapat penglibatan yang berbentuk sindiket.

"Siasatan awal pula mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari iaitu sehingga 8 September depan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan tidak kurang 15 kali sebatan.