MBO kekal di Malaysia untuk lima tahun akan datang

Balasubramanian (kiri) dan Abdul Fattah pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Ikatan Koperasi Antarabangsa di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Balasubramanian (kiri) dan Abdul Fattah pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Ikatan Koperasi Antarabangsa di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pejabat Perniagaan Koperasi Rantau Asia Pasifik (MBO) akan terus kekal di Malaysia untuk lima tahun akan datang selepas mula bertapak di negara ini pada 2014.

Khabar gembira itu disahkan sendiri oleh Pengarah Rantau Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik (ICA-AP), Balasubramanian Iyer pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Ikatan Koperasi Antarabangsa, di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kerana memberi sokongan kepada mereka sejak berada di Malaysia lima tahun lalu.

“MBO telah membantu dari segi menghubungkan ahli dalam industri e-dagang, tenusu, pelancongan dan banyak lagi, malah kami mengadakan pelbagai bengkel dan seminar di Malaysia.

“Saya fikir kita sudah melakukan tugas yang baik dalam mempromosikan MBO dan ahlinya yang datang daripada pelbagai negara.

“Mesyuarat hari ini, kita merancang apa yang MBO patut lakukan hari ini dan bincangkan hala tuju selepas ini,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail; Naib-naib Presidennya, Datuk Mohamad Ali Hasan, Dr Mohd Azlan Yahya, Datuk Che Mohd Shukri Che Isa dan Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nasir Khan Yahaya.

Sementara itu, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah gembira MBO kekal di Malaysia sekali gus memenuhi permintaan Angkasa yang mahukan mereka kekal di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini pejabatnya ada di Singapura dan berpindah ke Malaysia sejak lima tahun lepas. Kami gembira apabila MBO menyatakan mereka akan kekal di negara kita.

"Saya harap ahli koperasi di bawah Angkasa rebut peluang ini sebaiknya terutama untuk menembusi pasaran di Asia Pasifik," katanya.

Menurutnya, peranan dan fungsi MBO ialah menggalakkan perniagaan di Malaysia dan beliau melihat rantau Asia Pasifik berpotensi untuk membangunkan perniagaan koperasi kepada koperasi.

“Dengan adanya kerjasama bersama MBO, kita boleh kembangkan peluang perniagaan dan memasuki pasaran baharu di negara seperti Jepun, Korea serta China.

“Setakat ini hanya empat negara (China, Jepun, Korea Selatan) termasuk Malaysia menyertai MBO dan kita harap lebih banyak negara akan turut serta selepas ini,” katanya.