X

Kindly register in order to view this article
!

Piagam UMNO-Pas tak tindas kaum lain

Barisan kepimpinan UMNO dan Pas terlibat dalam ceramah Penyatuan Ummah Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Piagam UMNO-Pas yang bakal dimeterai 14 September depan membuktikan perpaduan yang dirangka adalah selari dengan perjuangan bersama mengangkat martabat agama Islam dan Bumiputera tanpa unsur penindasan terhadap kaum lain.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, hampir 99 peratus piagam yang dirangka pada peringkat awal untuk dibentangkan dalam mesyuarat bersama adalah sama walaupun dibuat secara berasingan oleh kedua-dua parti.

"UMNO rangka sendiri, Pas juga rangka sendiri, kemudian bawa ke mesyuarat. Apa yang dirangka oleh kedua-duanya rupa-rupanya sama. Maknanya cita-cita, roh, semangat, iltizam kedua parti ini sama.

"UMNO dan Pas terbukti mempunyai rekod pemerintahan yang adil. Pas dalam pemerintahan kerajaan negeri juga masih memelihara kepentingan kaum lain. Begitu juga BN (Barisan Nasional) sepanjang 62 tahun memerintah sebelum ini.

"Jadi, yakinlah apa yang kita lakukan (penyatuan UMNO-Pas) ini tidak rasis. Kita nak jaga rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya ketika berucap sempena Ceramah Penyatuan Ummah Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Bagi Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, semua rakyat di negara ini mempunyai peluang sama rata dalam menikmati manfaat perkembangan ekonomi.

Katanya, perkembangan ekonomi yang dibangunkan oleh pemimpin Melayu Islam selama ini dapat melahirkan ramai golongan kaya, majoriti daripada kaum lain tanpa ada unsur iri hati.

“Tapi hari ini Melayu Islam minta apa? Hanya nak minta negara ini perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Tak perlu bergaduh, kita fokus kepada prinsip demokrasi. Tiada apa yang perlu dikhuatiri dengan gabungan UMNO-Pas kerana kedua-dua parti ini terbukti demokrasi berdasarkan sejarah kepimpinan selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata, rakyat bukan Islam tidak perlu bimbang dengan gabungan UMNO-Pas hanya kerana pihak tertentu mendakwa penyatuan UMNO-Pas atas dasar perkauman.

"Bila umat Islam bergabung bukan untuk memusnahkan bukan Islam. Kami bergabung untuk musnahkan mereka yang memusuhi agama ALLAH SWT.

"Bagi yang bukan Islam, hak anda diarahkan oleh ALLAH SWT untuk kami jaga,” katanya.

UMNO dan Pas memuktamadkan kerjasama antara kedua-dua parti melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) yang akan diadakan pada 14 September depan.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti dan majlis itu akan dihadiri semua pemimpin UMNO serta Pas dari seluruh negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus