SUV langgar ambulans: Polis sahkan terima laporan

Klip video memaparkan pemandu dari arah kanan memasuki lorong kecemasan sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan sebuah ambulans.
Klip video memaparkan pemandu dari arah kanan memasuki lorong kecemasan sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan sebuah ambulans.
A
A
A

GOMBAK - Polis mengesahkan sudah menerima laporan daripada pemandu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah ambulans dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 25. 9, Lebuhraya Karak menghala ke Gombak kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) AKta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kejadian jam 7.50 malam kelmarin itu berlaku ketika ambulans milik syarikat swasta terbabit dalam perjalanan dari Bentong menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, jalan didapati sesak menyebabkan pemandu ambulans berusia 49 tahun memasuki lorong kecemasan dengan memasang siren dan lampu kecemasan.

“Tiba-tiba sebuah kereta jenis Honda CRV dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun mengubah haluan ke lorong kecemasan secara mengejut menyebabkan pemandu ambulans tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran dan terbabas ke longkang sebelah kiri jalan.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kemalangan tersebut namun kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan,” katanya.

Beliau berkata, pada mulanya pihaknya difahamkan, kedua-dua pihak telah membuat penyelesaian sendiri selepas kejadian.

Bagaimanapun, polis meminta mereka yang terlibat membuat laporan kemalangan kerana ia melibatkan kepentingan awam selain rakaman kejadian menjadi tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, sebuah ambulans yang melalui lorong kecemasan dirakam berlanggar dengan sebuah kenderaan dan rakaman kamera video papan pemuka kereta berhubung kejadian itu tular di media sosial.

Video berdurasi 15 saat itu dimuat naik menerusi Facebook Info Roadblock JPJ/Polis mendapat 2,700 komen dan 2,300 perkongsian sehingga jam 11.58 pagi tadi.

Berdasarkan video yang dikongsi netizen (Kredit video: Raymond Ng), pemandu kenderaan SUV dirakam memandu melulu dari lorong kedua lebuh raya memasuki lorong kecemasan sehingga berlanggar dengan sebuah ambulans.

Kejadian menyebabkan ambulans terbabit terbalik di bahu jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Video nahas ambulans di lorong kecemasan tular di Facebook

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada laporan diterima kes SUV langgar ambulans