JKM cari waris sembilan kanak-kanak

GANESAN & MUHAMMAD DANI RAYYAN
GANESAN & MUHAMMAD DANI RAYYAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada sembilan kanak-kanak bagi urusan dokumen pengenalan diri dan proses penempatan.

Pelindung kanak-kanak, Ainie Haslinda berkata, kes pertama merupakan bayi lelaki berusia empat bulan yang dirujuk Jabatan Kerja Sosial, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurutnya, bayi berkenaan dilahirkan pada 24 April dan ibunya dikenali sebagai Nor Azreen Mustafa berusia 36 tahun.

"Berdasarkan pemerhatian jururawat bertugas di pusat perubatan mendapati kemungkinan besar akan berlaku pengabaian sekiranya kanak-kanak dijaga ibu kandungnya.

“Pada 17 Mei 2019, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuala Lumpur telah memberi perintah jagaan sementara kanak-kanak ini di bawah jagaan JKM,” katanya.

Kes kedua membabitkan kanak-kanak lelaki bernama Muhammad Dani Rayyan yang dijumpai di surau Hospital Bersalin Kuala Lumpur pada 8 Mei 2017.

Menurutnya, ibu kandung gagal ditemui kerana tiada sebarang maklumat dan kini kanak-kanak itu berada di bawah jagaan JKM.

Artikel Berkaitan:

Bayi kepada Nor Azreen, MARISSA AMANDA & Bayi kepada Zuraida
Bayi kepada Nor Azreen, MARISSA AMANDA & Bayi kepada Zuraida

Kes ketiga, kanak-kanak bernama Muhammad Zaid Abdul Rahman, 3, yang diserahkan bapa kandungnya dikenali sebagai Abdul Rahman Mahindren Singam kepada pasangan suami isteri, Mohd Syawalluddin Abu Talib dan isteri, Kathija Begum Mohamed Madinah.

Bagaimanapun, penyerahan dibuat tanpa dokumen yang sah oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan ibu bapa kandung gagal dikesan sehingga kini.

“Kes keempat melibatkan remaja lelaki berusia 13 tahun bernama Muhamad Husien yang ditempatkan di institusi JKM selepas ibu kandungnya bernama Semi, seorang warga Indonesia, meninggal dunia pada 20 Disember tahun lalu.

“Kes kelima pula melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun bernama Patma Sri Shankara yang ditinggalkan dalam jagaan G Manickam sejak berusia satu bulan.

“Ibu kandungnya dikenali dengan nama Saraswathy, pernah menetap di Kampung Selayang, Batu Caves namun menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan selepas penyerahan tersebut sehinggalah sekarang,” katanya.

MUHAMAD HUSIEN & PATMA SRI SHANKARA
MUHAMAD HUSIEN & PATMA SRI SHANKARA

Menurutnya, kes keenam melibatkan seorang bayi perempuan berusia lima bulan yang dilahirkan 10 Mac lalu di Hospital Kuala Lumpur.

Ibu kandungnya dikenali sebagai Zuraida Mohd Suki yang menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan sejak keluar wad pada 27 Mac lalu.

Kes ketujuh membabitkan pencarian waris kepada seorang kanak-kanak berusia 7 tahun bernama Puteri Fadziela yang dilahirkan pada 27 Januari 2012.

Menurutnya, Fadziela dipelihara Mohd Nor Saimon selepas diserahkan ibu kandungnya sejak kanak-kanak berusia setahun.

“Ibu kandung kanak-kanak dikenali sebagai Pipit Mistianawati yang merupakan warganegara Indonesia tidak menuntut anak beliau dan gagal dihubungi,” katanya.

PUTERI FADZIELA & MUHAMMAD ZAID
PUTERI FADZIELA & MUHAMMAD ZAID

Bagi kes kelapan dan kesembilan, melibatkan seorang bayi perempuan berusia dua bulan dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Marissa Amanda dipelihara Amie Lizza Piadin selepas diserahkan ibu kandungnya sejak dilahirkan pada 5 Jun lalu.

“Ibu kandung bernama Salamiyah dan merupakan warganegara Indonesia, menghilangkan diri selepas sehari melahirkannya.

“Ganesan, 11, pula ditinggalkan ibu kandungnya, K Sathiadi Hospital Kuala Lumpur pada 2008.

“Kanak-kanak ini kini diperintahkan Mahkamah Bagi Kanak-kanak Kuala Lumpur untuk ditempatkan ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras selama tiga tahun sehingga 10 November 2018,” katanya.

Sehubungan itu, ibu kandung dan waris kepada semua kanak-kanak berkenaan diminta tampil ke JKM Kuala Lumpur di Tingkat 9, Grand Seasons Avenue, Jalan Pahang, Kuala Lumpur atau hubungi talian 0326124000 bagi memberikan maklumat berkaitan.