Penerbit sebuah stesen televisyen didenda RM5,000

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Seorang penerbit sebuah stesen televisyen didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai hari ini selepas didapati bersalah memfitnah seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Zamzuri Muhamad Zaini, 45, dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memfitnah Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner (ketika itu Superintendan) Dzulkhairi Mukhtar melalui media sosial dengan maksud hendak merosakkan (atau mengetahui atau dengan ada sebab mempercayai) bahawa tohmahan itu akan merosakkan nama baiknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Pejabat Ketua Polis Daerah Kulai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kira-kira jam 5 petang 22 Januari 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pendakwaan itu, Muhamad Zamzuri yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah memohon dijatuhkan hukuman ringan kerana hanya berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, selain isteri yang tidak bekerja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh yang bertugas sebagai penerbit syarikat televisyen dilihat mempunyai kuasa yang luas di media sosial.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berkenaan, selain memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Dzulkhairi kini adalah Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri.