Saya akan tegur walaupun kerajaan: KPN

Abdul Hamid (tengah) dalam sidang media selepas melancarkan Operasi Bersepadu Khazanah hari ini.
Abdul Hamid (tengah) dalam sidang media selepas melancarkan Operasi Bersepadu Khazanah hari ini.
A
A
A

BIDOR - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menafikan ada membuat kenyataan bahawa pembangkang menjadi punca kepada isu agama dan kaum.

Menurutnya, beliau perlu bersikap berkecuali dalam menggalas tugasnya sebagai Ketua Polis Negara dengan menegur mana-mana pihak yang melakukan kesalahan termasuk kerajaan.

“Saya kata memang menjadi kebiasaannya dalam mana-mana situasi bila berlaku perubahan mendadak kerajaan akan wujud suasana ini di mana parti akan bercakaran sesama sendiri untuk menegak agenda politik masing-masing. Parti pembangkang pula berusaha melemahkan kerajaan. Bila saya kata saya menyerang pembangkang saja?

“Sebagai Ketua Polis Negara saya perlu berada di tengah-tengah, tidak boleh menyebelahi mana-mana. Sekiranya kerajaan salah saya tegur. Saya tidak kata pembangkang yang menyebab ini semua, ” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah di Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, semua pihak diminta untuk berfikiran rasional agar tidak mengeluarkan tuduhan melulu tanpa memahami keseluruhan kenyataannya.

“Ada yang menyuruh saya meletak jawatan kerana masuk campur dalam hal politik.

“Jangan buat tuduhan seolah-olah saya ini Ketua Polis Negara Pakatan Harapan. Saya Ketua Polis Negara untuk negara bukan untuk parti politik,” katanya.

Abdul Hamid mengulas mengenai kenyataan Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil yang menyarankan beliau meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara jika mahu membuat kenyataan politik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau menegaskan agar isu remeh tidak ditimbulkan hingga membebani tugas PDRM dalam membanteras jenayah.

“Ringankan beban kami supaya kami dapat menumpukan kerja-kerja lebih bermanfaat. Jangan jadi manusia sombong dengan sibuk mencari kedudukan, pengaruh hingga membebankan PDRM.

“Hal politik yang sepatutnya boleh diselesaikan tetapi tidak habis-habis sejak tahun lepas macam-macam isu hingga perkara remeh pun dijadikan isu. Kita perlu beralih, Pilihan Raya Umum akan datang, ayuh fokus di situ nanti,” katanya.