Levi pelepasan tak beri kesan kepada jualan pameran: MATTA

Phua Tai Neng
Phua Tai Neng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjangka levi pelepasan yang dikenakan baru-baru ini tidak akan memberi kesan kepada jualan Pameran MATTA September 2019 yang akan berlangsung tidak lama lagi, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Phua Tai Neng.

“Kami berharap kerajaan akan menangguhkannya sehingga sekurang-kurangnya selepas kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020, tetapi kerajaan telah memutuskannya.

“Bagaimanapun, kami merasakan ia tidak akan memberi kesan kerana orang ramai masih perlu berehat dan bercuti,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi Pameran MATTA September 2019, di sini hari ini.

Tai Neng berkata, pameran edisi September itu yang akan diadakan dari 6 hingga 8 September dijangka menarik 110,000 pengunjung dan menjana jualan antara RM210 juta dan RM220 juta.

Pameran MATTA edisi Mac 2019 mencatatkan seramai 113,685 pengunjung dan meraih jualan sebanyak RM220 juta, katanya.

Pada 23 Ogos, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan Kabinet memutuskan untuk meneruskan cadangan levi pelepasan itu yang akan dikenakan kepada penumpang yang berlepas keluar dari negara ini bermula 1 September tahun ini.

Penumpang yang keluar dari negara ini bagi kelas ekonomi ke negara-negara ASEAN perlu membayar RM20 manakala bagi kelas perniagaan dan kelas pertama sebanyak RM150.

Bagi penumpang yang berlepas ke negara-negara bukan ASEAN, mereka perlu membayar RM40.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pemasaran Kumpulan dan Pelanggan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Lau Yin May berkata, syarikat penerbangan itu mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan dan percaya peraturan baharu itu tidak akan memberi kesan besar kepada pelanggan yang pergi ke negara-negara ASEAN.

Beliau juga menjangka akan berlaku peralihan dari segi destinasi perjalanan daripada antarabangsa ke rantau ASEAN dalam kalangan rakyat Malaysia susulan pelaksanaan peraturan baharu itu.

Mengenai pameran MATTA itu, Yin May berkata, Malaysia Airlines menawarkan tawaran menarik dengan diskaun 45 peratus bagi tempat duduk perniagaan dan ekonomi ke semua destinasi, daripada serendah RM79 sehala bagi perjalanan domestik hingga kepada RM139 sehala bagi perjalanan antarabangsa.

Pelanggan juga akan mempunyai lebih banyak pilihan daripada Firely, anak syarikat Malaysia Airlines, yang akan menawarkan diskaun sehingga 60 peratus bagi tambangnya.

Sementara itu, beliau berkata MAB telah mula memasang perkhidmatan WiFi dalam pesawat bagi model A330 dengan sasaran kesemua 15 pesawat tersebut akan mempunyai perkhidmatan WiFi menjelang pertengahan 2020.

“Ketika ini, semua pesawat A350 kami mempunyai WiFi dan kami juga mula memasangnya di pesawat A330-200 dan A330-300 kami. Kesemua pesawat itu adalah bagi penerbangan jarak jauh dan serantau,” katanya. - Bernama