Jakim sokong Johor guna tulisan jawi: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong inisiatif Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menggunakan tulisan jawi dalam urusan surat menyurat kerana ia dilihat dapat memartabatkan tulisan jawi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan bermula 1 Januari tahun depan yang melibatkan JAINJ dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta urusan diperingkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan.

"Di Jakim, bagi setiap program kira-kira 25 peratus daripada poster atau bahan-bahan berkaitan program menggunakan tulisan jawi.

"Esok kita akan lancar satu program iaitu minggu jawi dan setiap hari Jumaat kita akan minta semua staf pakai tanda nama bertulisan jawi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan forum antarabangsa pertama mengenai Pemikiran Islam (I-FiT): Menggalakkan Maqasid Syariah Ke Arah Tadbir Urus yang Ehsan di sini hari ini.

Sementara itu, Mujahid berkata, forum antarabangsa berkenaan akan dijadikan acara tahunan bagi membincangkan prinsip Maqasid Syariah terutama dalam kerangka Malaysia.

"Kita akan menggunakan platform ini untuk menyentuh isu-isu Islam semasa yang kita ambil juga pandangan-pandangan dari luar negara lalu kita jadikan ia sebagai prosiding untuk kita baiki dasar-dasar yang sedang dirangka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: