Gerakan gesa kerajaan PH tunai janji

Oh Tong Keong
Oh Tong Keong
A
A
A

GEORGETOWN - Parti Gerakan hari ini menggesa agar kerajaan PH melaksanakan segala janji-janji manifestonya pada PRU14 yang lepas.

Timbalan Presidennya Oh Tong Keong dalam satu kenyataan hari ini menyuarakan rasa kecewa dengan kerajaan PH yang menurutnya masih gagal melaksanakan janji-janjinya selepas tujuh bulan mentadbir negara, terutama yang berkaitan pemansuhan kutipan tol di seluruh negara, termasuk Tol Jambatan Pulau Pinang.

Tong Keong berkata pemimpin-pemimpin DAP pernah berjanji akan menghentikan kutipan tol di Sungai Nyior, Butterworth, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan apabila ia gagal dalam usahanya menawan Putrajaya pada pilihan raya tahun 2008.

“Bagaimanapun selepas PRU 2018, DAP dan rakan sekutunya berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan, sekarang mereka mengemukakan alasan lain, kononnya mahu menghalang konflik dan perselisihan, semata-mata untuk mewajarkan keengganan mereka melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya.

Oh, yang juga pengerusi Gerakan Pulau Pinang seterusnya mempersoalkan niat PH, adakah alasan-alasan itu tidak disasar untuk mengumpan sokongan orang ramai, atau janji-janji mereka hanya untuk berkempen semata-mata.

Beliau seterusnya menunding jari kepada pemimpin-pemimpin DAP dan PKR, terutama setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya sering memberitahu orang ramai bahawa mereka akan memansuhkan kutipan tol selepas mengambil alih kerajaan persekutuan.

“Kami (Gerakan) menggesa DAP supaya berhenti daripada berterusan memberikan alasan kerana rakyat sudah bosan dengannya, kami mahukan segala kata-kata janji diterjemahkan dengan tindakan yang sebenar,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: