Boboiboy Movie 2, filem animasi terlaris No 1 di Malaysia

No Image Caption
A
A
A

FILEM animasi tempatan Boboiboy Movie 2 (BBBM2) telah berjaya mengutip sebanyak RM27.7juta di Malaysia sahaja dalam masa 26 hari.

Secara rasmi filem animasi ini menjadi filem animasi terlaris No. 1 di Malaysia mengatasi filem-filem animasi tempatan yang pernah diterbitkan sebelum ini. Malah ia juga berjaya mengatasi kutipan filem animasi antarabangsa yang pernah ditayangkan di Malaysia.

Pengumuman ini telah disampaikan melalui media sosial Astro Shaw dan Animonsta Studios hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak, yang juga merupakan penerbit serta pengarah filem BBBM2, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut menyumbang kepada kejayaan filem ini.

“Kami di MONSTA amat teruja dengan pencapaian BBBM2 yang berjaya memecahkan rekod kutipan tertinggi semua filem animasi di Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jutaan penonton dari pelbagai bangsa dan lapisan umur yang menyokong BBBM2,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad pula, kejayaan filem ini membuktikan filem animasi tempatan mampu bersaing dengan filem antarabangsa.

“Kami amat gembira segala usaha promosi dan pemasaran yang dirangka dan dijalankan benar-benar memberikan impak yang positif.

Artikel Berkaitan:

“Ini merupakan perkembangan yang sangat baik dalam industri filem tempatan dan menunjukkan filem animasi tempatan kita mampu bersaing dengan filem antarabangsa.

Kami sangat berterima kasih kepada penonton yang telah menonton dan menjadikan filem Boboiboy Movie 2 filem Animasi No 1 Malaysia,” katanya.

Filem BBBM2 yang mula memasuki pawagam pada 8 Ogos lalu, masih lagi rancak ditayangkan dan kini sudah memasuki minggu keempat tayangan. Menariknya, filem ini masih lagi memberikan persaingan sengit kepada filem lain dan kekal dalam carta top 5 kutipan mingguan pawagam.