Wira-wira penjaga daulat negara

Shamsudin (kiri) dan Sakrani akan terus mempertahankan kedaulatan negara hingga hujung nyawa.
Shamsudin (kiri) dan Sakrani akan terus mempertahankan kedaulatan negara hingga hujung nyawa.
A
A
A

TANGGAL 31 Ogos lalu, genap 62 tahun kita mengecap nikmat merdeka. Pembebasan Tanah Melayu daripada penjajah adalah hasil perjuangan para pemimpin, anggota keselamatan dan rakyat segenap bangsa yang sanggup mengorbankan nyawa dan harta benda.

Walaupun setelah lebih enam dekad berlalu, namun jasa penjaga daulat negara sungguh besar dalam memelihara nikmat merdeka yang telah kita kecapi pada tahun 1957.

Salah satu pasukan komando khas yang ditubuhkan untuk menjaga keamanan negara ialah Very Able Troops 69 Commando (Komando VAT69) yang ditubuhkan oleh pasukan United Kingdom Special Air Service Regiment pada tahun 1969 bagi membanteras kegiatan insurgensi komunis.

Salah seorang bekas pasukan Komando VAT69, Sarjan Mejar (B) Shamsudin Sham, 69, merupakan antara anggota VAT69 yang menyelinap masuk ke dalam hutan untuk berdepan dua mata dengan komunis ketika itu.

Pada usia lewat 20-an ketika itu, beliau yang terpilih menyertai pasukan berkenaan telah berkorban demi negara meskipun terpaksa meninggalkan isteri dan dua anaknya ketika itu tanpa sebarang jaminan sama ada akan pulang bernyawa atau sekadar jasad.

“Saya masih ingat pengalaman awal yang saya lalui bersama 12 anggota dan pegawai dalam satu operasi khas.

“Kami tidak tahu keadaan muka bumi ketika itu kerana berada dalam hutan. Dari pagi hingga tengah hari belum jumpa puncak bukit. Kami mendaki bukit, sebelum terdengar bunyi letupan. Masa itu sukar untuk kita tahu ia dari arah mana.

“Pertempuran bukan sekadar tembak-menembak. Tapi dalam keadaan kami maki komunis, komunis pun maki kami semula sambil melepaskan tembakan. Ada juga saya dengar suara perempuan menangis mungkin keluarga komunis yang ketakutan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Shamsudin (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukan semasa berkhidmat dalam tentera.
Shamsudin (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukan semasa berkhidmat dalam tentera.

Operasi bertempur dengan pengganas komunis yang dioperasikan oleh pasukan Komando VAT69 dari tahun 1968 hingga 1989 telah menumpaskan 36 komunis yang ditembak mati. Seramai 113 ditahan hidup.

Sementara itu, seorang lagi bekas pasukan Komando VAT69, Sarjan Mejar (B), Sakrani Hashim, 63, turut berkongsi pengalaman bertempur dengan musuh.

Berbeza dengan rakan lain yang melawan komunis, Sakrani berkongsi kisahnya melawan pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013. Lebih hebat, pada ketika itu usianya sudah 57 tahun, tiga tahun sebelum pencen.

“Pertempuran ketika itu berbeza dengan pertempuran yang saya pernah terlibat dulu kerana ia adalah peperangan konvensional. Berlaku di kawasan ladang kelapa sawit yang terang. Kita boleh nampak mereka dan berbalas tembakan,” katanya.

Tambah Sakrani, pertempuran itu berlaku dalam tempoh kira-kira sejam dan dalam tempoh genting itu, dia bertanggungjawab memberi arahan kepada anak-anak buahnya.

“Dalam pertempuran itu anak buah di sebelah kiri kanan ada yang sudah cedera. Di belakang pula ada yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Dalam pertempuran itulah gugurnya dua orang sahabatnya iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud.

“Tiada kata-kata untuk menzahirkan rasa sedih selepas pertempuran, kita melihat anggota pasukan yang cedera dan sudah tidak bernyawa,” katanya.