Kerajaan adalah pemilik lapangan terbang: Anthony

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

RAWANG - Kerajaan berhak menentukan kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) kerana ia adalah pemilik lapangan terbang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) ialah pengendali dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pula pengawal selia dan kedua-duanya adalah entiti berkaitan kerajaan.

"Semua aset adalah milik kerajaan. Kadar (PSC) adalah keputusan kabinet, bukan Kementerian Pengangkutan. Kami tidak merendahkan sesiapa pun," katanya selepas pelancaran Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang di Serendah di sini hari ini.

Menurutnya, caj PSC yang lebih rendah tidak akan menjejaskan pendapatan MAHB.

"Ini berita baik untuk semua kerana kami bersetuju untuk menurunkan caj, yang kami percaya akan merangsang industri pelancongan," katanya.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan PSC untuk penerbangan antarabangsa dikurangkan dari RM73 kepada RM50 di semua lapangan terbang di Malaysia, kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur (KLIA) berkuat kuasa 1 Oktober ini.

PSC bagi penerbangan ke ASEAN kekal pada RM35 dan RM11 bagi penerbangan domestik.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) semalam berkata, keputusan kerajaan untuk campur tangan dan menurunkan caj PSC menjejaskan kredibiliti Mavcom, dan akan merugikan KLIA berbanding lapangan terbang lain.

Artikel Berkaitan:

Naib Presiden IATA Asia Pasifik, Conrad Clifford dipetik sebagai berkata, kerajaan juga menjejaskan kredibiliti Mavcom.

"Mavcom dilantik sebagai pengawal selia ekonomi untuk lapangan terbang dan mempunyai mandat serta kuasa untuk menentukan caj lapangan terbang. Ini adalah proses dalam menetapkan caj lapangan terbang," katanya. - Bernama