PPSPM tambah perkhidmatan teksi air November depan

Salah satu bot MRC yang terdapat di Sungai Melaka.
Salah satu bot MRC yang terdapat di Sungai Melaka.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) akan terus memperkasakan pengangkutan awam di negeri ini menerusi penambahan teksi air, dijangka bermula November depan.

Ketua pegawai eksekutifnya, Azlan Abidin berkata, kos bagi menyediakan kemudahan tersebut melibatkan peruntukan kira-kira RM200,000 hingga RM300,000 bagi mempertingkatkan kemudahan tersebut di Sungai Melaka.

Menurutnya, langkah itu bagi menarik lebih ramai pelancong, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas terutama di kawasan pelancongan seperti di Banda Hilir.

"Ini salah satu inisiatif kita untuk menarik lebih ramai pelancong, sekali gus mencapai sasaran 100,000 pengunjung di Melaka River Cruise (MRC) selain sasaran 20 juta pelancong ke Melaka.

"Usaha ini juga secara tidak langsung dapat memeriahkan Festival Antarabangsa Sungai Melaka yang akan diadakan bermula 21 November tahun ini," katanya.

Azlan berkata demikian selepas cabutan bertuah bulanan MRC bagi bulan Ogos di Seri Negeri di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Hanafi Sakri dan Juruaudit PPSPM, Nurulliyana Zulkifle.

Artikel Berkaitan:

Hanafi (tengah) ketika membuat cabutan sambil diperhatikan Azlan (dua dari kanan) sempena cabutan bertuah MRC di Ayer Keroh hari ini.
Hanafi (tengah) ketika membuat cabutan sambil diperhatikan Azlan (dua dari kanan) sempena cabutan bertuah MRC di Ayer Keroh hari ini.

Sebelum ini, MRC mempunyai sebuah teksi air, bagaimanapun kemudahan itu hanya beroperasi ke pulau-pulau berdekatan.

Katanya, menerusi percubaan yang dilakukan baru-baru ini mendapati kemudahan teksi air mampu menjimatkan perjalanan terutama dari Melaka Sentral ke Bandar Hilir dengan mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit sahaja, berbanding lebih kurang 40 minit perjalanan darat khususnya waktu puncak iaitu cuti persekolahan, cuti umum dan hujung minggu.

Sementara itu, mengulas program cabutan bertuah, Azlan berkata, ia akan diadakan setiap bulan hingga hujung tahun ini kepada pengunjung bertuah yang menggunakan perkhidmatan MRC sebagai tanda penghargaan atas sokongan diberi.

Beliau berharap orang ramai mengambil peluang untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan melalui pembelian tiket MRC bernilai RM50 dan ke atas dalam satu resit.

"Hadiah yang ditawarkan setiap bulan juga berbeza-beza dan bulan lalu, kira-kira 80,000 pengunjung termasuk pelancong tempatan yang telah menggunakan MRC dan tidak mustahil mencapai sasaran yang diletakkan pada tahun ini," katanya.

Pada program itu, dua pengunjung iaitu dari Melaka dan Selangor memenangi hadiah cabutan bertuah berupa pakej melancong ke Sabah selama tiga hari dua malam.