Syor pemburu haram dikenakan hukuman sebat

Abdul Hamid (kiri) melepaskan dua batalion Polis Gerakan Am dari Senoi Praaq akan membantu Perhilitan membanteras pemburu haram menerusi Operasi Bersepadu Khazanah di Bidor hari ini.
Abdul Hamid (kiri) melepaskan dua batalion Polis Gerakan Am dari Senoi Praaq akan membantu Perhilitan membanteras pemburu haram menerusi Operasi Bersepadu Khazanah di Bidor hari ini.
A
A
A

BIDOR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan hukuman sebatan mandatori dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan pemburuan haram dalam negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, hukuman itu turut wajar dikenakan kepada penjual dan penyeludup yang bersubahat dalam mengaut keuntungan daripada kemusnahan hidupan flora dan fauna yang dilindungi di bawah undang-undang.

“Saya akan minta bahagian undang-undang untuk mengenakan hukuman sebatan mandatori kepada mereka. Saya akan lihat kembali, jika tiada saya akan syorkan hukuman itu dikenakan.

“Kita mempunyai pendekatan holistik untuk memastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Operasi Bersepadu Khazanah di Batalion 3, Pasukan Gerakan Am di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menurutnya, beliau juga akan memperketatkan kawalan pemberian lesen senjata api serta permit memburu.

“Hampir 30,000 lesen senjata api dikeluarkan di mana 7,400 mempunyai permit memburu. Permit memburu bukanlah lesen bebas untuk melakukan pemburuan.

“Bagi pemegang lesen yang sudah tidak relevan seperti memohon untuk melindungi tanaman tetapi sekarang tiada tanah, lesen itu akan dibatalkan dan senjata api ditarik balik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid berkata, dengan perlaksanaan operasi itu, 12 undang-undang di bawah PDRM dan Perhilitan akan dikuatkuasakan di 19 lokasi utama seluruh negara termasuk premis penjualan haiwan eksotik.

“Antara undang-undang yang dikuatkuasakan adalah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Ordinan Haiwan, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, Kanun Keseksaan dan Akta Jabatan Alam Sekitar.

“Antara lokasi yang dikesan Bukit Kayu Hitam, Kedah; Padang Besar, Perlis; Pengkalan Hulu, Perak; Rantau Panjang, Kelantan; Pelabuhan Klang, Selangor; Mersing, Johor serta Sabah dan Sarawak,” katanya.