X

Kindly register in order to view this article
!

28,528 calon UPSR dari Kelantan duduki peperiksaan esok

Che Sazali turut membantu persiapan akhir untuk UPSR esok.
A
A

KOTA BHARU - Seramai 28,528 calon bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh Kelantan selama lima hari bermula esok.

Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Fauzi Zahari berkata, daripada jumlah tersebut seramai 26,927 murid (Sekolah Kebangsaan), 813 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina); 3 calon (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil), 63 (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan), 270 (Yayasan Islam Kelantan) dan seramai 452 adalah calon swasta.

Fauzi
Fauzi

Menurutnya, semua calon akan mula menduduki ujian bermula esok, ‪lusa‬ dan disambung semula pada ‪10 hingga 12 September‬ di 446 pusat yang disediakan dengan melibatkan 2,391 petugas.

“Diharap semua murid dan calon UPSR tahun ini dapat menduduki ujian dengan sempurna dan telah membuat persediaan yang sepatutnya.

“Calon perlu menjaga kesihatan, pemakanan, mematuhi peraturan semasa peperiksaan, datang awal ke pusat peperiksaan dan menenangkan diri sebelum menduduki UPSR,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, JPN Kelantan juga telah membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan kes-kes luar jangka termasuk bencana alam dengan kerjasama semua agensi kerajaan dan swasta.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pentadbir di sekolah kerana telah menjalankan amanah dengan menyediakan dewan atau bilik peperiksaan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh kementerian.

“Kepada ibu bapa, diucapkan terima kasih kerana telah memberi kerjasama dan mengambil berat tentang pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), khususnya UPSR untuk anak-anak mereka. Terima kasih juga kepada guru yang sanggup menjadi petugas tahun ini.

“Didoakan juga murid akan mendapat pencapaian dengan cemerlang dalam semua komponen PBS,” katanya lagi.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah, persiapan sudah dilakukan sejak awal pagi lagi.

Guru Besarnya, Che Sazali Che Ibrahim berkata, diharapkan kesemua 25 calon dari sekolahnya esok dapat menduduki UPSR dengan lancar.

“Kita sasar 100 peratus murid kita dapat menguasai tahap minimum dan hasrat sekolah untuk melihat tiga murid target mendapat 6A menjadi kenyataan kali ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus