Kes denggi di Johor membimbangkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kebimbangan terhadap penularan denggi di Johor kian memuncak apabila mencatatkan peningkatan mendadak 101.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, jumlah yang diambil setakat 31 Ogos itu adalah membabitkan sebanyak 7,761 kes denggi berbanding 3,857 bagi tempoh yang sama.

Menurutnya, lebih mendukacitakan adalah perkara berkenaan turut membawa kepada peningkatan kes kematian yang telah mencatatkan 19 kes sehingga kini.

“Pada tahun ini sehingga 31 Ogos, Johor Bahru masih merupakan daerah tertinggi mencatatkan kes denggi iaitu sebanyak 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes diikuti Kluang (6.1 peratus), Kulai (4.2 peratus), Batu Pahat (3.5 peratus), Muar (2.4 peratus) dan Kota Tinggi (2.1 peratus).

“Kemudian Segamat (2.0 peratus), Tangkak (1.9 peratus), Pontian (1.5 peratus) dan Mersing (1.4 peratus),” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) Johor di Taman Damai Jaya di sini hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, daripada semua jumlah itu, peningkatan kes denggi tertinggi dilihat berlaku di Mersing iaitu peningkatan sebanyak 522 peratus dan Kluang dengan peningkatan sebanyak 319 peratus.

Mohd Khuzzan (tengah) memegang bendera Johor sebagai gimik pelancaran OPPI di Taman Damai Jaya di sini hari ini.
Mohd Khuzzan (tengah) memegang bendera Johor sebagai gimik pelancaran OPPI di Taman Damai Jaya di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, penyumbang utama kes-kes denggi yang tinggi masih berpunca akibat pembiakan aedes susulan kaedah pembuangan sampah yang tidak teratur.

Artikel Berkaitan:

“Meskipun orang ramai telah diingatkan untuk sentiasa membersihkan kawasan masing-masing terutama bekas pembiakan aedes, masih ada lagi tempat pembiakan ditemui setiap kali siasatan kes denggi dijalankan.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah melancarkan OPPI yang merupakan langkah seterusnya untuk memastikan masyarakat sedar dan boleh mengambil tindakan sepatutnya bagi menghalang pembiakan aedes,” katanya.

Tambah Mohd Khuzzan, OPPI juga merupakan operasi bersepadu melibatkan agensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), SWCorp dan Polis Diraja Malaysia.

“Hukuman tegas juga akan diambil dan sekiranya dijumpai tempat pembiakan jentik-jentik di premis kediaman, maka kompaun sebanyak RM5,000 akan dikenakan. Sekiranya gagal membayar kompaun, mereka boleh didenda di mahkamah,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 22 OPPI telah dijalankan di seluruh negeri ini yang membawa kepada pengeluaran 133 kompaun bernilai RM66,500.