Ibu maut, anak calon UPSR cedera

Seorang anggota polis trafik melihat keadaan motosikal yang dinaiki mangsa yang remuk selepas dilanggar Honda CRV. (Gambar kecil, Nazri)
Seorang anggota polis trafik melihat keadaan motosikal yang dinaiki mangsa yang remuk selepas dilanggar Honda CRV. (Gambar kecil, Nazri)
A
A
A

BESUT- Seorang penunggang motosikal wanita maut manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta yang memasuki laluan bertentangan dalam kejadian di Kampung Bukit Kenak, Jertih semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa Nazri Seman, 52, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Alif Haiqal Abdullah, 12, yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Percapaian Sekolah Rendah (UPSR) esok cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Idris Mohamed berkata, sebelum kejadian mangsa yang tinggal di Kampung Gong Bukit Kenak menunggang motosikal Yamaha LC135 dari Jertih menghala ke Bukit Kenak.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kenderaan SUV jenis Honda CRV dipandu seorang wanita 42 tahun dari arah Kuala Terengganu telah memasuki laluan motosikal itu lalu melanggar mangsa.

“CRV itu kemudian melanggar pula melanggar Perodua Aruz yang turut berada dilaluan motosikal itu dan akibat pelanggaran tersebut menyebabkan Nazri meninggal di tempat kejadian manakala anaknya murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nyiur Tujuh luka ringan di bahagian muka,” katanya.

Idris berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut manakala anaknya dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.

Menurutnya, tujuh orang yang menaiki Perodua Aruz termasuk pemandu tidak cedera sementara pemandu CRV dari Tanah Merah, Kelantan tidak cedera manakala tiga penumpangnya cedera ringan.

“Kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pegawai penyiasat kes ialah Inspektor Muhammad Fariz Rosli,” katanya.

Artikel Berkaitan: