Dua lelaki dicekup bawa lori curi

Ahsmon (kiri) melihat lori curi berkenaan yang dirampas susulan penahanan dua lelaki oleh anggota BSPTD IPD Kota Tinggi, Jumaat lalu.
Ahsmon (kiri) melihat lori curi berkenaan yang dirampas susulan penahanan dua lelaki oleh anggota BSPTD IPD Kota Tinggi, Jumaat lalu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya menahan dua lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau bersama sebuah lori curi, Jumaat lalu.

Tangkapan dilakukan dua anggota BSPTD ketika menjalankan tugas rondaan cegah kemalangan dan penguatkuasaan di Jalan Jaya Bandar Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, tangkapan pada jam 1.15 petang itu dilakukan selepas pemeriksaan dibuat terhadap lori berkenaan yang sarat dengan muatan besi staging dan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil semakan lori tersebut yang didaftarkan atas nombor pendaftaran JHL 5263 melalui peralatan MCOPS trafik dapati terdapat rekod kenderaan hilang di Nusa Bestari.

"Tangkapan telah dijalankan serta merta ke atas dua lelaki yang masing-masing berumur lingkungan 40-an.

"Keduanya juga mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan salah seorang dari mereka mempunyai senarai orang yang dikehendaki berhubung tiga kes jenayah yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dalam tangkapan tersebut pihak polis BSPTD telah menyita dan merampas lori berkenaan yang menggunakan nombor palsu seterusnya diserahkan kepada Bahagian Jenayah IPD Iskandar Puteri untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, pihak IPD Kota Tinggi akan terus komited dalam membanteras jenayah melibatkan kecurian kenderaan di daerah ini.

Tegasnya, ia termasuklah membantu daerah-daerah lain dan bersempadanan dalam usaha mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap polis.

"Pihak IPD Kota Tinggi juga sedia berkongsi dan menerima maklumat awam berkaitan kecurian dan kehilangan kenderaan.

"Orang awam perlu sentiasa peka dan berhati-hati dengan keadaan jenayah di sekeliling agar tidak menjadi mangsa penjenayah yang cuba mengambil kesempatan," katanya.