X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan maut, 26 hilang bot terbakar, karam

Bot Conception yang terbakar di Pulau Santa Cruz. - Foto Ventura County Fire Dept
A
A

OXNARD - Lapan orang dilaporkan maut manakala lebih 20 yang lain hilang dan dikhuatiri maut apabila sebuah bot menyelam skuba terbakar lalu karam di perairan California, Amerika Syarikat (AS).

Anggota bomba menaiki helikopter dan bot bertungkus lumus memadam kebakaran awal pagi semalam di atas bot Conception sepanjang 23 meter yang melakukan lawatan sekitar Pulau Santa Cruz, di sebelah barat Santa Barbara, selatan California.

Pasukan Pengawal Pantai berkata, api terlalu marak menyebabkan mereka sukar menghampiri bot bagi mencari mangsa sebelum ia tenggelam, kabus tebal turut menyukarkan usaha menyelamat.

"Setakat ini, empat mangsa yang ditemukan disahkan maut.

"Usaha mencari yang diteruskan di lokasi kejadian turut menemukan empat lagi mangsa di dasar laut berhampiran bot berkenaan," kata Sherif Daerah Santa Barbara, Bill Brown sambil menambah 26 orang dilaporkan hilang.

Menurut Kapten Pengawal Pantai, Kapten Monica Rochester, lima kru bot Conception terjaga dan melompat ke dalam laut susulan kebakaran yang berlaku pada kira-kira jam 3.15 pagi (waktu tempatan). Difahamkan 39 orang berada di dalam bot terbabit.

Rochester berkata, kelima-lima kru terbabit diselamatkan sebuah bot dikenali sebagai Grape Escape yang berada berhampiran.

Dalam pada itu, kesemua penumpang bot Conception yang lain dipercayai sedang tidur ketika kebakaran berlaku, ia mempunyai kabin penuh sesak di bahagian bawah dek.

Media AS mengeluarkan rakaman audio panggilan kecemasan yang mana seorang kru kedengaran menjerit, "Mayday! Mayday! Mayday! dan 'Saya tidak boleh bernafas!'.

Seorang operator Pengawal Pantai kemudian bertanya sekiranya penumpang boleh turun dari bot dan sama ada kru mempunyai pemadam api namun jawapannya tidak kedengaran.

Menurut Rochester, bot yang dilancarkan pada tahun 1981 oleh syarikat bernama Truth Aquatics berpengkalan di Santa Barbara itu dilaporkan memenuhi segala peraturan keselamatan dan pemiliknya bekerjasama dengan siasatan.

Ditanya sama ada berlaku letupan di atas bot, Rochester berkata, penggilan kecemasan yang diterima hanya mengatakan bot berkenaan terbakar.

Pengawal Pantai berkata, api terus marak meskipun dipadam beberapa kali kemungkinan akibat jumlah minyak yang banyak.

Menurut laman web Truth Aquatics bot terbabit mampu membawa sehingga 6,057 liter minyak.

Bot terbabit yang boleh memuatkan 46 orang dijadual pulang semalam susulan lawatan tiga hari ke beberapa lokasi menyelam sekitar Pulau Santa Cruz. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!