X

Kindly register in order to view this article
!

APM Negeri Sembilan siap siaga hadapi air pasang besar

A
A

SEREMBAN - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku fenomena air laut pasang besar di Port Dickson.

Timbalan Pengarah, Mejar Mohd Rohaidi Halim berkata ketika ini, pihaknya menggerakkan anggota untuk melakukan pemantauan di pesisir pantai berkenaan setiap hari bermula dari 9 pagi sehingga 7 malam untuk memastikan keadaan pantai tersebut selamat.

"Sekiranya keadaan air laut tinggi dan boleh bahayakan pengunjung, APM akan memberi amaran awal dan menaikkan bendera merah bagi memaklumkan keadaan pesisir pantai tidak selamat untuk sebarang aktiviti," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rohaidi berkata, sekiranya berlaku air laut pasang besar berserta hujan lebat, APM katanya akan menempatkan anggota bagi memastikan keadaan pengunjung dan penduduk setempat selamat.

"Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran akan sentiasa memantau perkembangan paras air sungai sama ada melebihi paras amaran, waspada atau berbahaya dan akan dimaklum kepada jawatankuasa pengurusan bencana negeri untuk tindakan agensi membuat pemantauan," katanya.

Beberapa hari lalu, berlaku fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor melibatkan lima daerah tersebut iaitu Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Setakat ini, fenomena air laut pasang besar tidak berlaku di Negeri Sembilan berbanding tahun lepas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus