Pencapaian PH boleh dinilai tahun hadapan

Adly menyampaikan sumbangan bantuan persekolah kepada 130 orang pelajar terpilih dalam kawasan Kota Melaka di pekarangan pejabat Amanah Kawasan Kota Melaka di Taman Seri Telok Mas, di sini.
Adly menyampaikan sumbangan bantuan persekolah kepada 130 orang pelajar terpilih dalam kawasan Kota Melaka di pekarangan pejabat Amanah Kawasan Kota Melaka di Taman Seri Telok Mas, di sini.
A
A
A

MELAKA - Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pencapaian keseluruhan kerajaan PH hanya boleh dilihat bermula pada tahun hadapan.

Menurutnya, tahun 2019 adalah tahun baharu bagi memulakan belanjawan yang diumumkan awal November lalu.

"Tahun 2019 baharu kita hendak mulakan belanjawan yang dibuat, kita akan mula mengejar apa yang disasarkan.

"Banyak inisiatif yang baharu kita akan mulakan untuk mensejahterakan rakyat dan kita boleh lihat keseluruhan prestasi itu di akhir 2019," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, meskipun begitu sepanjang tempoh pemerintahan PH pada 2018 sejak Mei lalu dilihat begitu memberangsangkan berbanding yang dilakukan kerajaan terdahulu.

"Pencapaian terbaik negeri Melaka sehingga Disember ini, kita masih belum memohon sebarang pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berikutan langkah penjimatan yang dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

"Dalam masa sama projek pembangunan dapat kita teruskan dan juga industri pelancongan kita berjaya mencapai sasaran sebanyak 17 juta kehadiran pelancong tahun ini.

"Kita juga sudah merancang pelbagai inisiatif termasuk melancarkan Tahun Melawat Melaka 2019 dan misi pelaburan luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa sama kita tidak menghentikan projek pembangunan sedia ada termasuk Melaka Gateway dan secara kesimpulannya saya yakin ekonomi dapat dirasai oleh rakyat, meskipun kita masih baharu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada 130 pelajar anjuran Parti Amanah Kota Melaka di pekarangan Pejabat Amanah Kota Melaka di Taman Seri Telok Mas di sini.

Turut diadakan program gunting rambut percuma kepada pelajar sekolah yang dijalankan selama dua hari bermula hari ini.

Hadir sama, Ketua Amanah Kota Melaka, Datuk Harun Mohamed dan juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.