Jangan cabul maruah Jalur Gemilang

A
A
A

JALUR GEMILANG adalah kebanggaan warga yang menghambakan diri dan jiwa mereka sebagai anak Malaysia.

Jalur Gemilang berkibar dengan megah mempertontonkan kedaulatan yang dijulang bukan sejak negara dibebaskan daripada belenggu penjajah tetapi permulaan asal Jalur Gemilang telah bermula pada tahun 1949.

Dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baharu. Bagi mencapai matlamat tersebut, satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu pada tahun 1949.

Pertandingan peringkat kebangsaan dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga reka bentuk bendera baharu bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur merah dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Sebelum pemilihan bendera dibuat, Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga reka bentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949 dan keputusan akhir menunjukkan majoriti serta mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950 telah memilih reka bentuk ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu Mohamed Hamzah.

Jalur Gemilang yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Megah, menarik, segak, semangat waja, kaya, jati diri, budi dan mulia amat sinonim untuk mewarnai interpretasi fizikal bendera kebanggaan Malaysia.

Letak dan duduknya Jalur Gemilang terlalu tinggi dan mulia kerana membawa wadah maruah dan harga diri rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, latar belakang dan agama.

Peristiwa

Artikel Berkaitan:

Menjelang tarikh bersejarah 31 Ogos 2019 dan 16 September 2019, pelbagai peristiwa telah menghimpit landskap penceritaan harian yang menarik perhatian semua pihak tentang sikap manusia yang tidak bertanggungjawab terhadap Jalur Gemilang.

Bulan Ogos, September mahupun setiap hari Jalur Gemilang perlu dikibar bagi menyatakan rasa kasih, sayang, syukur dan terima kasih kerana Malaysia sebuah negara aman merdeka.

Peristiwa dan isu yang bermain di mata rakyat Malaysia tentang pencabulan maruah Jalur Gemilang seperti dikibarkan secara terbalik, dibakar, dipijak, diludah dan bermacam-macam lagi menyentap hati anak Malaysia yang memandangnya.

Jika Jalur Gemilang dihina, maka tidak hairanlah kita menghadapi pelbagai masalah tentang adab dan sopan yang sentiasa menjadi bualan warganya. Tindakan boleh diambil terhadap pelaku-pelaku yang terlibat namun cukupkah dengan tindakan tersebut sedangkan jika mereka yang melakukannya adalah anak Malaysia, perkara itu tidak patut berlaku.

Itu bukanlah kali pertama penghinaan terhadap maruah negara melalui Jalur Gemilang menempa sejarah dalam berita nasional dan antarabangsa. Jika rasa marah, tidak puas hati, geram, benci yang mahu dipertontonkan jangan sesekali menghina maruah negara yakni simbol kedaulatan negara.

Jalur Gemilang harus berkibar dengan megah di tahap yang tinggi seolah-olah menjulang martabat anak Malaysia dan komposisi yang bernaung di bawah Malaysia merdeka.

Jika hidup kita faham erti bersyukur dan berterima kasih dengan jerit perih kesusahan para pahlawan dan srikandi masa lampau, Malaysia tidak mempunyai ruang untuk menempatkan pemusnah maruah negara.

Pergilah ke mana-mana negara sekalipun, cubalah hina dan cabul simbol negara itu, lihat apakah yang akan berlaku. Jangan suka membezakan Malaysia dengan yang lain, jika diri sendiri tidak mahu berubah. Jangan bilang kita bebas melakukan perkara di luar negara Malaysia tetapi sebenarnya Malaysialah negara yang paling bebas membenarkan warganya mengambil tindakan sewenang-wenangnya atas dasar perjuangan hak asasi manusia.

Tidak rugi belajar bersyukur dan mengucapkan terima kasih serta jadilah cerminan kepada generasi muda mahupun negara luar.

* Prof Madya Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad ialah Fakulti Residen Sekolah Pengajian Siswazah Othman Yeop Abdullah, Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur