X

Kindly register in order to view this article
!

Penyebaran sentimen kaum di media sosial

Gambar hiasan
A
A

SAMBUTAN Hari Kebangsaan ke-62 telah disambut di seluruh negara beberapa hari yang lalu.

Malaysia masih mengekalkan keamanan dan keharmonian yang ditonjolkan oleh pelbagai lapisan masyarakat tanya mengira kaum dan agama.

Prasyarat kejayaan sebuah negara adalah terletak pada rakyatnya. Inilah keistimewaan rakyat Malaysia yang sentiasa menolak sebarang sentimen negatif yang boleh merosakkan perpaduan kaum dan kebebasan beragama yang didukung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang mendukacitakan sejak kebelakangan ini kenyataan berbaur perkauman bagaikan semakin berbara terutama sekali di media sosial.

Teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu semua pihak menghentikan perbuatan menyalakan api perkauman dan meniup bara permusuhan antara agama perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Ketika bertitah pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 peringkat negeri Perak Ahad lalu, baginda mengingatkan walaupun selepas 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, suara yang menyemai kebencian antara kaum dan agama semakin lantang diucapkan.

Untuk mengelakkan penyebaran isu-isu perkauman di media sosial, pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepatutnya boleh mengambil tindakan segera.

Kita mengalu-alukan cadangan supaya SKMM diberi kuasa untuk memadamkan paparan berbaur perkauman yang disebarkan oleh netizen yang tidak bertanggungjawab.

Sifat keterbukaan yang diamalkan oleh kerajaan tidak seharusnya disalahgunakan dan diambil kesempatan.

Kita juga berharap rakyat yang cintakan perpaduan tampil memberikan kerjasama dan melaporkan kandungan berbaur perkauman di media sosial kepada SKMM agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil.

Dalam media sosial, kenyataan ahli-ahli politik untuk menyatupadukan masyarakat amatlah diperlukan memandangkan golongan itu cukup berpengaruh dalam media sosial.

Begitu juga di sebaliknya, demi meraih sokongan dan populariti, ahli-ahli politik yang sengaja mengapi-apikan isu perkauman di media sosial perlu dikutuk. Tindakan mereka cukup bahaya kerana setiap kata-kata mereka akan cepat tersebar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!