X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga desak MPS agar lebih telus

Peniaga Pasar Pagi Selayang Baru perlu mengosongkan tapak pada Oktober ini selepas pemindahan peniaga di pasar baharu selesai. (Gambar kecil, notis dikeluarkan oleh MPS untuk peniaga disitu.)
A
A

SELAYANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diminta lebih telus dalam isu agihan tapak dan pemindahan peniaga Pasar Pagi Selayang Baru ke bangunan pasar baharu selepas hampir separuh permohonan peniaga ditolak.

Pasar Pagi Selayang Baru boleh membuatkan 400 peniaga terdiri pasar ikan dan sayur, medan selera serta penjaja berpayung sementara bangunan bertingkat bagi pasar baharu difahamkan hanya menyediakan 200 petak.

Wakil peniaga, Fadzir Mat Isa berkata, peniaga tidak berpuas hati apabila nama mereka yang berniaga bertahun lamanya di pasar itu tercicir tetapi ada orang luar yang tidak pernah berniaga di situ diberikan tapak.

"Ada seorang kawan datang kepada saya maklumkan terkejut namanya diketepikan sedangkan sudah berniaga di sana lebih 15 tahun, saya sendiri pernah bekerja di bawahnya sebelum berniaga sendiri.

"Permohonan saya juga ditolak atas alasan saya tidak selalu berada di pasar, sedangkan saya selalu keluar untuk menghantar stok. Nak harapkan hasil pasar berapa sangat saya dapat, yang ramai datang pun hanya hujung minggu," katanya kepada Sinar Harian.

Pasar Pagi Selayang Baru bakal tinggal kenangan selepas tapak itu akan dibangunkan projek perumahan.
Pasar Pagi Selayang Baru bakal tinggal kenangan selepas tapak itu akan dibangunkan projek perumahan.

Dia yang bertindak sebagai penolong setiausaha salah satu persatuan peniaga di situ turut terkilan apabila MPS enggan berunding dengan mana-mana persatuan sebaliknya lebih senang bersemuka dengan peniaga sendiri.

"Kami juga terhimpit apabila kebanyakan peniaga merujuk kepada kami tentang isu tapak. Ada antaranya mempersoalkan susunan tapak yang bercampur, ada peniaga sayur ditempatkan disebelah peniaga ikan dan ayam.

"Bagi yang tidak mendapat petak pula mempersoalkan nasib mereka kerana selepas pemindahan dilakukan dijangka Oktober ini, pasar sedia ada akan ditutup sepenuhnya," katanya.

William hadir pada pertemuan dengan peniaga pasar Selayang Baru yang diadakan hari ini.
William hadir pada pertemuan dengan peniaga pasar Selayang Baru yang diadakan hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, beliau meminta kerajaan negeri campur tangan berhubung isu penempatan peniaga dan masalah infrastruktur bangunan tersebut yang perlu ditambah baik sebelum ia diduduki.

"Isu pasar ini berlarutan lebih sepuluh tahun. Bantahan sebelum ini disebabkan isu teknikal, saiz petak dan kedudukan rumah sampah yang mengadap sekolah agama dan perumahan menyebabkan kerajaan negeri di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak membatalkan kontrak terhadap pemaju.

"Pembatalan itu menyebabkan pemaju membawa isu tersebut ke mahkamah sebelum keputusan baru-baru ini memihak kepada pemaju yang memutuskan peniaga perlu berpindah bagi membolehkan tapak pasar pagi itu dibangunkan untuk projek pangsapuri," katanya.

Jelasnya, pihaknya mencadangkan agar peniaga bersatu untuk menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua untuk campur tangan menyelesaikan masalah peniaga.