Islam anjur dialog secara bertoleransi

 Dr Wan Salim
Dr Wan Salim
A
A
A

SHAH ALAM - Islam menggalakkan dialog yang tenang bertujuan mencari persefahaman dan toleransi dalam masyarakat berbilang kaum yang berlainan kepercayaan seperti diamalkan Malaysia.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, Islam adalah agama rahmat dan sejahtera dengan jelas menyeru umat Islam supaya hidup bersama penganut agama lain dalam suasana bertoleransi dan saling menghormati.

Wan Salim berkata, banyak ayat al-Quran menolak sikap taksub kepada keturunan, agama atau fikiran.

"Islam menegaskan bahawa perbezaan adalah perkara tabii dan merupakan hikmah ciptaan ALLAH SWT.

"ALLAH SWT berfirman: "Sekiranya Tuhanmu menghendaki (wahai Muhammad), tentulah Dia menjadikan seluruh manusia sebagai umat yang satu (hanya menganut satu agama yang tertentu sahaja), tetapi Dia membuat apa yang dikehendaki-Nya." (Surah al-Nahl: 93)," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat kosmopolitan yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza agama, budaya dan keturunan bukanlah perkara baharu dalam sejarah umat Islam.

Jelasnya, sejarah menyaksikan bahawa penganut Islam telah hidup dalam suasana aman dan sejahtera bersama masyarakat bukan Islam selama berabad di beberapa kawasan di dunia.

"Walaupun wujud perbezaan dan kepelbagaian, namun perpaduan tetap terjalin antara warganegara yang termeterai kemas oleh ikatan persaudaraan dan perikemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan prinsip, keadilan, kebebasan dan persamaan yang didokong maka Islam mengiktiraf hak setiap individu yang hidup bersama sebagai warganegara di bawah pemerintahannya," katanya.

Menyentuh mengenai tindakan pihak tertentu yang mencetuskan isu agama dan perkauman sehingga berlaku sengketa dalam kalangan rakyat, beliau mengingatkan golongan berkenaan supaya memikirkan akibat buruk yang mungkin tercetus daripada tindakan sedemikian.

"Sudah tentu setiap warganegara Malaysia yang normal tidak ingin perkara ini berlaku kerana ia akan merugikan kita semua.

"Rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama dan telah hidup sekian lama dalam suasana aman, menikmati hubungan yang harmoni dan bertoleransi antara satu sama lain.

"Justeru kita ingin menyeru semua pihak supaya menghentikan segala tindakan memarakkan api permusuhan antara sesama rakyat negara ini walau atas apa alasan sekalipun," katanya.

Semalam, Pas menolak dakwaan kononnya Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai parti itu dengan UMNO pada 14 September ini bakal mencetuskan masalah kaum dan agama di Malaysia.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan itu tidak berasas kerana program Himpunan Penyatuan Ummah bersempena majlis menandatangani piagam berkenaan akan turut melibatkan kehadiran kepimpinan daripada parti bukan Islam.