Tiga makam di kaki Gunung Pulai milik panglima perang?

Zaid kiri menunjukkan salah satu makam dalam kawasan semak dengan bahagian atas batu nisan itu telah patah.
Zaid kiri menunjukkan salah satu makam dalam kawasan semak dengan bahagian atas batu nisan itu telah patah.
A
A
A

BALING - Sekurangnya-kurangnya tiga lagi makam berusia ratusan tahun dikesan dalam kawasan di kaki Gunung Pulai berhampiran Sungai Ketil di sini.

Setiausaha Persatuan Pencinta Alam Baling (PPAB), Mohd Zaid Ab Mokti berkata, terdapat tiga atau lima makam di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kedudukannya lebih tinggi daripada makam-makam lain serta ia dikelilingi batu yang diletak secara tersusun.

"Susunan makam itu berada dalam satu barisan menunjukkan mereka ini meninggal dunia dalam satu peperangan. Ia juga menunjukkan mereka ini orang-orang yang dihormati.

"Salah satu makam batu nisannya di bahagian atas telah pun patah," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohd Zaid berkata, satu kerugian kepada negara ini khususnya negeri Kedah jika tiada kajian lanjut terhadap semua makam di situ.

Beliau berkata, melalui kajian awal pengkaji sejarah, semua makam di situ dipercayai mempunyai kaitan dengan Perang Musuh Bisik, Kedah-Siam pada 1821.

Artikel Berkaitan:

Salah satu batu nisan di kaki Gunung Pulai yang mempunyai ukiran menunjukkan si mati orang istana.
Salah satu batu nisan di kaki Gunung Pulai yang mempunyai ukiran menunjukkan si mati orang istana.

"Kebanyakan makam yang terdapat di sini menggunakan batu gunung sebagai penanda kubur. Jumlah keseluruhan mencecah seratus atau mungkin lebih.

"Hanya ada beberapa makam menggunakan batu nisan. Salah satu telah disahkan milik keturunan Syahbandar Pulai. Di batu nisan berkenaan mempunyai ukiran yang menunjukkan si mati adalah orang istana. Makam seumpama itu ada ditemui di beberapa lokasi lain dalam negeri ini," katanya.

Untuk rekod sejarah, Institusi Syahbandar merupakan salah satu jawatan penting dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran Kedah suatu ketika dahulu.

Institusi berkenaan wujud lebih awal sebelum Kedah dilanggar Siam pada 1821.

Salah seorang Syahbandar berkhidmat di bawah pimpinan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804-1845) dan pernah ditangkap oleh kerajaan Siam sebelum dibawa ke sana di Ligor.