Selebriti ibarat duta kecil perpaduan

Selebriti terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyanyikan lagu Jalur Gemilang ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-62 bersama kakitangan Bank Muamalat di Laman Warisan Menara Bumiputra semalam. - Foto Bernama (Gambar kecil, dari kiri, Wincci, Sudirman, Roy)
Selebriti terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyanyikan lagu Jalur Gemilang ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-62 bersama kakitangan Bank Muamalat di Laman Warisan Menara Bumiputra semalam. - Foto Bernama (Gambar kecil, dari kiri, Wincci, Sudirman, Roy)
A
A
A

SELEBRITI tanah air baik penyanyi, pelakon, komposer, pengarah filem mahupun penulis lirik adalah ibarat duta kecil perpaduan dalam sesebuah negara.

Di Malaysia sendiri banyak lagu yang dicipta dan didendang untuk meniupkan semangat rakyat supaya bersatu di bawah satu bangsa.

Antara yang popular termasuklah Tanggal 31 dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Bahtera Merdeka nyanyian Aishah dan Warna Warna Malaysiaku Gemilang dialunkan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Selain lagu, filem-filem di layar perak turut membakar semangat patriotik antaranya Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Hati Malaya dan Tanda Putera.

Salah seorang bintang yang paling sinonim dengan lagu patriotik lantaran suara emasnya sudah tentulah penyanyi Roy yang telah mendendangkan puluhan lagu-lagu bertemakan Malaysia.

Menurut Roy atau nama sebenarnya Mohammed Raizan Alwi, secara lazimnya lagu patriotik dinyanyikan oleh semua kaum dalam satu bahasa iaitu bahasa Melayu.

Mengakui anak seni ibarat duta kecil perpaduan, Roy memberitahu antara lagu genre patriotik pernah dinyanyikan iaitu Sejahtera Malaysia, Negaraku Yang Tercinta, Wawasan 2020 dan Perpaduan Teras Kejayaan.

“Ia boleh menanam semangat juang dalam diri rakyat dan lagu-lagu genre march juga boleh dijadikan lagu kesedaran untuk patriotisme,” kata bintang berusia 55 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Bercerita mengenai lagu patriotik hari ini, kata Roy, unsur baharu banyak disuntik dalam lagu patriotik untuk menampakkan kesegaran dan menarik minat golongan muda.

“Bagi saya usaha itu adalah satu langkah yang bagus tetapi lagu berentak march jangan disisihkan kerana ia lebih sinonim dengan ketegasan dan patriotisme,” katanya.

Bagi pelakon, model dan penyanyi Dr Soo Wincci, 34, artis boleh dianggap sebagai agen perpaduan apabila mampu menawan hati peminat pelbagai bangsa.

“Saya sendiri pernah menyertai pertandingan masakan Masterchef Selebriti.

"Saya percaya bukan sahaja saya menarik peminat dalam kalangan orang Cina tapi mengumpul peminat Melayu dan India.

“Impak pertandingan masakan itu juga cukup bermakna terhadap kerjaya saya. Saya banyak belajar masakan Melayu melalui rancangan tersebut.

"Secara langsung saya dapat mendalami budaya orang Melayu melalui masakan,” kata Miss World tahun 2008 itu.