‘Kita semua ialah rakyat Malaysia’

Md Farid (enam dari kanan) ketika menghadiri program di Arau, Perlis tahun lalu.
Md Farid (enam dari kanan) ketika menghadiri program di Arau, Perlis tahun lalu.
A
A
A

BAGI setiap warganegara Malaysia, kita seringkali memasang impian agar semua kaum dapat hidup bersatu padu dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kebudayaan.

Mengekalkan hubungan kaum secara harmoni dan kebebasan beragama sudah biasa kita memperkatakannya.

Namun apabila berlakunya beberapa isu sentimen perkauman, misalnya isu pengenalan tulisan jawi dan khat di sekolah vernakular sejak kebelakangan ini, perasaan kita telah begitu mudah terusik sehingga mencetuskan perasaan tidak tenteram oleh semua kaum.

Apakah negara kita tidak selamat dan berpecah akibat persengketaan kaum ini?

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr Md Farid Md Rafik berkata, kerajaan sememangnya tidak mahu rakyat terbabit dalam sebarang persengketaan isu-isu perkauman sehingga menjejaskan perpaduan dan memecahbelahkan masyarakat.

Md Farid mengibarkan Jalur Gemilang bersama hadirin pada satu program rasmi baru-baru ini.
Md Farid mengibarkan Jalur Gemilang bersama hadirin pada satu program rasmi baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam isu pengenalan tulisan jawi dan khat di sekolah vernakular, adalah tidak salah bagi masyarakat Cina memberikan pandangan kerana adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menuntut hak yang sepatutnya.

“Tanggungjawab kerajaan adalah cuba memberikan penjelasan kepada rakyat agar segala isu membabitkan perkauman dapat dirungkai. Kerajaan akan sedaya upaya berkomunikasi dengan semua pihak yang terbabit dan menyalurkan maklumat rasmi kerajaan kepada rakyat bagi menyelesaikan semua perselisihan faham.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kita berbeza dari segi kaum, warna kulit, kebudayaan dan bahasa, tetapi anggota dan organ dalam badan kita adalah sama. Janganlah kerana mempunyai pendirian yang berbeza, kita sanggup lupa kita adalah rakyat Malaysia,” kata Md Farid yang merupakan seorang doktor perubatan.

Beliau berkata, dalam kehidupan masyarakat yang majmuk ini, isu-isu yang sentiasa mewujudkan perasaan ketidaktenteraman dan ketegangan antara kaum adalah berkaitan dengan agama, bahasa, dan kebudayaan.

Realistik

“Untuk itu, pemimpin-pemimpin komuniti perlu bersikap realistik ketika mengkaji di sebalik isu-isu yang berlaku bagi mengelakkan sesetengah pihak mengambil kesempatan demi kepentingan agenda sendiri,” katanya.

Menurut Md Farid, dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia, usaha memastikan semua kaum dapat bersatu-padu sememangnya adalah satu tugas berat memandangkan semua kaum mempunyai agenda tersendiri dan ingin menuntut hak untuk kaum masing-masing.

“Hanya perpaduan semua kaum sahaja yang mampu membantu negara berjaya sebagai sebuah negara yang maju. Seluruh rakyat perlu mematuhi perinsip Rukun Negara, jangan kerana ada unsur-unsur perkauman sehingga menjejaskan perpaduan yang telah terjalin selama ini,” katanya.

Ditanya bagaimana seni warisan negara mampu meningkatkan perpaduan kaum, kata Md Farid, satu cara untuk memisahkan tembok perbezaan kaum adalah dengan belajar kebudayaan dan bahasa kaum lain.

“Pada hari ini, didapati dalam kalangan ibu bapa Melayu di beberapa negeri seperti di Melaka, Johor dan beberapa negeri lain, ramai yang telah menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah rendah Cina,” katanya.

Menyentuh mengenai laman media sosial yang memberi peluang mengemukakan pandangan secara bebas dan terbuka, Timbalan Menteri itu ada pandangan tersendiri.

Katanya, media sosial telah membolehkan semua orang menjadi wartawan secara tidak rasmi, walaupun ia mudah menyalurkan maklumat kepada kehidupan kita, namun ia turut mengundang masalah apabila sesetengah orang menyalahgunakan kebebasan bersuara ini.

Mengenai bagaimana menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara komuniti yang berbeza, kata Md Farid, kementeriannya akan menggunakan sumber daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi, iaitu mengadakan mesyuarat Rukun Tetangga ataupun melantik pihak ketiga (mediator) mengadakan forum bagi berbincang masalah yang timbul.

Melancarkan Program Semarakkan Perpaduan Di Hati di Labuan, tahun lalu.
Melancarkan Program Semarakkan Perpaduan Di Hati di Labuan, tahun lalu.

Menurut Md Farid, untuk menjadi ahli Rukun Tetangga, ia terbuka kepada semua kaum dan agama serta tidak membezakan fahaman politik. Sekiranya sesebuah komuniti berjumlah 2,000 orang, ia sudah dibenarkan menubuhkan Rukun Tetangga untuk tujuan meningkatkan perpaduan rakyat dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

“Bukan semua taman perumahan mempunyai ketua kampung manakala wakil rakyat tidak mampu berikan perkhidmatan kepada semua pengundi di kawasannya.

Oleh itu, saya galakkan semua rakyat menyertai Rukun Tetangga kerana di situlah mereka mempunyai saluran yang betul untuk mengemukakan pandangan masing-masing,” katanya.