Mayat bayi di tandas Tugu Negara: Wanita warga Samoa ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Samoa ditahan kerana dipercayai membuang bayi yang dilahirkannya dalam tong sampah di tandas awam di Tugu Negara, di sini hari ini.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat bayi itu kira-kira pukul 11 pagi oleh orang awam.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mayat bayi yang masih bertali pusat dan cukup sifat itu dibalut dengan kain selendang dan diletakkan dalam tong sampah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Susulan penemuan itu, pihaknya menahan seorang wanita warga Samoa berusia 33 tahun di sebuah klinik swasta di Setia Alam dekat sini.

"Siasatan mendapati wanita yang menyertai rombongan ke Tugu Negara itu berada di tandas awam itu lebih daripada satu jam.

"Wanita itu tiba di Malaysia semalam untuk menyertai kursus kesihatan dan hari ini, beliau bersama rakan-rakan dibawa bersiar di sekitar ibu negara," katanya.

Mohd Fahmi berkata, wanita itu kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan mayat bayi itu dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.- Bernama

Artikel Berkaitan: