Bas percuma di laluan Bahau ke Batu Kikir

Kok Seong (dua dari kanan) di hadapan bas yang menawarkan perkhidmatan percuma kepada penduduk di Bahau, Jempol.
A
A

JEMPOL - Bagi mengurangkan beban masyarakat, Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) menyediakan bas percuma di laluan Bahau ke Batu Kikir khususnya ke Klinik Kesihatan Bahau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong berkata, semua kos tersebut akan ditanggung oleh pejabatnya melalui bajet yang disalurkan kerajaan negeri.

"Buat permulaan ini saya mengambil kira kepentingan pengguna yang ramai menaiki bas awam untuk ke klinik kesihatan, jadi kita mengambil keputusan untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma ke situ.

"Perkhidmatan ini juga adalah selari dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang sentiasa mengutamakan keselesaan dan kepentingan rakyat dengan salah satunya menyediakan perkhidmatan bas percuma," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian perkhidmatan bas percuma, penyerahan bangunan kedai desa dan pelancaran Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 Peringkat Daerah Jempol, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol, Raja Norazli Raja Nordin.

Raja Norazli dalam ucapannya berkata, laluan perkhidmatan bas percuma itu akan ditambah sekiranya mendapat sambutan daripada masyarakat.

Malah katanya, jika ada keperluan untuk menambah laluan lain, pihaknya akan berbuat demikian.

"Jika perlaksanaan perkhidmatan bas percuma ini dapat sambutan yang memberangsangkan, ia akan diteruskan lagi ke lokasi-lokasi yang lain agar ia memberi manfaat secara menyeluruh kepada semua masyarakat di Jempol," katanya.

Perkhidmatan bas percuma itu akan beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang membabitkan laluan dari Stesen Bahau - Klinik Kesihatan Bahau dan Stesen Bas Batu Kikir.

Kok Seong bersama masyarakat setempat semasa merasmikan pelancaran perkhidmatan bas awam percuma di Bahau, Jempol hari ini.
Kok Seong bersama masyarakat setempat semasa merasmikan pelancaran perkhidmatan bas awam percuma di Bahau, Jempol hari ini.

Sementara itu, Kok Seong yang juga Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru berkata, kerajaan negeri akan turut sama menyambut Hari Perancangan Bandar Sedunia yang disambut pada 8 November ini di seluruh dunia dengan tema 'Menghijaukan Bandar dan Mensejahterakan Negeri'.

Menurutnya, sebagai simbolik kerajaan negeri akan menanam 20 batang pokok sebagai tanda sokongan dalam usaha memperingati peranan dan sumbangan jururancang bandar dalam pembangunan mampan serta mewujudkan persekitaran kehidupan yang berkualiti.