'Guan Eng tak perlu gelabah'

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dinasihatkan untuk tidak gelabah berikutan beberapa kempen yang menggesa untuk mengutamakan produk dihasilkan umat Islam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kempen itu digerakkan sendiri oleh rakyat dan tiada kena mengena dengan UMNO dan Pas.

Menurutnya, kempen itu memperjuangkan ikhtiar serta kesepakatan pengguna Islam untuk menggunakan barangan atau produk keluaran Muslim.

Reezal Merican berkata, tidak ada boikot yang terancang kepada pengusaha lain dan kesedaran ekonomi umat Islam itu tidak mengganggu gugat keperkasaan ekonomi pihak mana sekali pun.

"Untuk pengetahuan Menteri Kewangan, mengutamakan produk Muslim tidak bermakna ekonomi akan menjadi bantut dan mundur. Ekonomi masih berjalan, wang terus mengalir di dalam pasaran. Apa isunya?

"Beliau tidak perlu khuatir berkenaan kempen dan kuasa pengguna, ekonomi negara keseluruhannya jauh lebih besar dan luas skopnya. Elok Guan Eng tumpukan kepada hutang negara yang kian meningkat atau janji kerajaan yang tidak tertunai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, Guan Eng seharusnya bekerja untuk semua rakyat Malaysia dan tidak hanya bersuara bila didesak pengusaha atau usahawan bangsa tertentu.

"Saya cadangkan Guan Eng ambil masa untuk membaca teks ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) bersempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan berkenaan sikap mereka yang munafik dan mungkir janji. Wajar untuk dihadam sebagai pemegang amanah kantung negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Guan Eng dilaporkan menggesa Pas dan UMNO membantu menghentikan gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera kerana ia tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.