Kebakaran hutan: Bomba teruskan pemantauan

Yahaya (tiga dari kanan) mengiringi Chen Choon (dua dari kiri) meninjau lokasi kebakaran.
Yahaya (tiga dari kanan) mengiringi Chen Choon (dua dari kiri) meninjau lokasi kebakaran.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus melakukan rondaan dan pemantauan meskipun operasi pemadaman kebakaran hutan di Kampung Pekajang sejak 13 hari lepas ditamatkan hari ini.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian sama akan berulang berikutan faktor cuaca selain daripada aktiviti pembakaran terbuka oleh penduduk sekitar.

"Potensi (berulang lagi kebakaran) masih sama kerana bila-bila masa boleh terbakar lagi. Tetapi kawasan yang kita buat operasi itu lebih kurang 16.5 hektar menggunakan teknik 'total flooding' iaitu banjirkan keseluruhan kawasan telah berjaya.

"Kita mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengairan dan Saliran dengan menggunakan pam kuasa tinggi. Biasanya pam ini untuk sedut air pada musim banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penutupan operasi kebakaran hutan di Kampung Pekajang dekat Gelang Patah di bilik operasi JBPM, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad dan Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon.

Kebakaran hutan di kawasan itu yang bermula sejak 21 Ogos lepas menyebabkan pencemaran udara hingga memaksa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang dan Sekolah Kebangsaan Tanjong Adang ditutup pada 26 dan 27 Ogos lalu.

Sementara itu, Chen Choon berkata, setakat ini alat pemantau kualiti udara masih lagi ditempatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di SMK Tanjung Adang hingga keadaan udara di kampung tersebut kembali normal.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri amat berbesar hati dengan pengumuman yang dibuat Pengarah JBPM tentang status operasi pemadaman kebakaran yang kini telah mencapai 99 peratus dan seterusnya mengakhiri operasi ini," katanya.