Hasrat mahu solat jenazah dihadiri ramai jemaah tertunai

Nur Syahira menunjukkan gambar arwah bapanya yang dikirimkan ketika berada di Tanah Suci.
Nur Syahira menunjukkan gambar arwah bapanya yang dikirimkan ketika berada di Tanah Suci.
A
A
A

KOTA BHARU - Hasrat seorang peniaga burger mahu solat jenazahnya dihadiri ramai jemaah tertunai apabila dia meninggal dunia di Madinah dan disembahyangkan di Masjid Madinah, Arab Saudi semalam.

Allahyarham Mat Nawi Yaacob, 67, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada di bilik penginapannya di Hotel Dallah Taibah, Madinah selepas menunaikan solat Subuh kira-kira jam 7 pagi waktu Arab Saudi.

Anak sulungnya, Saiful Azwal Mat Nawi, 47, berkata, pada hari wukuf sehari sebelum Aidiladha bapanya yang berada di Madinah ada menghantar pesanan melalui aplikasi WhatApps mengingatkan mereka adik-beradik supaya menjaga solat dan hubungan silaturahim sekiranya dia meninggal dunia.

“Arwah juga ada menulis mahu solat jenazahnya dihadiri ramai orang. Pada mulanya kami hanya baca mesej tersebut, tak sangka pula arwah rupa-rupanya seolah-olah sudah mengetahui ajalnya dan pergi meninggalkan kami.

“Bagi kami sebagai anak tetap reda dan mengucapkan syukur kerana arwah meninggal di tempat dan waktu yang baik selepas menunaikan haji. Hasratnya mahu jenazah disembahyangkan orang ramai juga tertunai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Menurutnya, arwah bapanya seorang yang peramah dan dikatakan banyak mengamalkan amalan bersedekah secara diam-diam di masjid-masjid sekitar kampungnya di Bukit Kecil, Melor di sini tanpa diketahui oleh keluarga.

“Semalam, kami dan penduduk kampung mengadakan solat jenazah ghaib untuk arwah dan ketika itulah imam masjid beritahu bahawa arwah banyak bersedekah dan memberi zakat kepada masjid tetapi jumlahnya tidak kami ketahui.

“Kalau berniaga pun biasanya bapa suka beri burger percuma kepada pelajar sekolah. Contoh kalau mereka datang berdua dan seorang saja yang beli burger, bapa akan sedekahkan satu lagi burger untuk seorang lagi pelajar yang tak beli burger,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia mengetahui berhubung kematian bapanya itu melalui adik bongsu, Nur Syahira, 26, yang menerima pesanan WhatApps meminta dia menghubungi bapanya itu dengan segera pada jam 1 petang waktu tempatan.

Mat Nawi (kanan) bersama isteri, Che Noria dan Che Wook bergambar ketika berada di Tanah Suci.
Mat Nawi (kanan) bersama isteri, Che Noria dan Che Wook bergambar ketika berada di Tanah Suci.

“Sebaik adik menelefon bapa, panggilan itu dijawab ibu kami dan ibu minta supaya kami adik-beradik bersabar sebelum memberitahu bapa sudah meninggal dunia.

“Jenazah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Madinah serta sudah pun selamat dikebumikan di Baqi’ Madinah. Ibu akan pulang ke tanah air mengikut jadual asal pada 6 September ini,” katanya.

Sementara itu, Nur Syahira berkata, arwah bersama ibunya, Che Noria Che hamid, 68, dan ibu saudara mereka, Che Wook Che Hamid, 64, berangkat ke tanah suci pada 30 Julai lalu untuk menunaikan fardu haji dan ibu bapa mereka dijangka pulang Khamis ini.

“Masa pergi mereka bertiga, namun jadual ibu saudara pulang lebih awal dan sudah tiba di tempat tinggalnya di Terengganu pada Jumaat minggu lalu.

“Kami di sini reda dengan pemergian bapa dan perlu tenang di sini untuk memberi semangat kepada ibu. Sebelum ini bapa yang menelefon kami setiap hari dan kini giliran kami pula telefon ibu setiap hari bagi memastikan dia tak terlalu bersedih,” katanya.

Tambahnya, arwah bapanya itu dikenali dalam kalangan penduduk kampung sekitar dengan panggilan Pok Wi Burger yang memulakan perniagaan menjual burger di Pasar Melor sejak tahun 1989 dan menjalankannya secara sepenuh masa selepas pencen di Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

“Arwah seorang yang sangat peramah dan orang kampung sememangnya mengenalinya kerana arwah wajib menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid.

“Dalam berniaga, arwah juga sentiasa menjaga kualiti dan kini saya pula akan meneruskan perniagaan arwah menjual burger di pasar itu dan mengamalkan cara-cara arwah mengambil hati para pelanggannya,” katanya.