Kerajaan jamin selesaikan hutang 1MDB, SRC International: Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memberi jaminan akan memastikan peruntukan secukupnya dapat disediakan bagi menyelesaikan pembayaran pembiayaan SRC International Sdn Bhd (SRC) kepada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) sekaligus melindungi kepentingan KWAP dan pesara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sejak tahun 2015, Kementerian Kewangan komited dalam memastikan kewajipan pembayaran dipenuhi dan sentiasa mematuhi jadual pembayaran balik kepada KWAP.

"Jumlah pembayaran yang telah dibuat Kementerian Kewangan bagi pihak SRC International Sdn Bhd adalah sebanyak RM1.69 bilion. Daripada jumlah berkenaan, pembayaran terkini yang dibuat adalah pada 29 Ogos 2019 iaitu sebanyak RM344 juta yang merangkumi RM300 juta prinsipal dan faedah sebanyak RM44.7 juta.

"Berdasarkan jadual pembayaran balik, tarikh pembayaran berikutnya adalah pada 30 September 2019 melibatkan amaun sebanyak RM43 juta (faedah). Jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada baki pembiayaan sebanyak RM3.8 bilion yang akan berakhir pada tahun 2022," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SRC International telah ditubuhkan sebagai anak syarikat kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 7 Januari 2011 dan didakwa terlibat dengan penyelewengan wang.

Anak syarikat 1MDB itu telah meminjam sebanyak RM4 bilion daripada KWAP pada 26 Ogos 2011 (pinjaman pertama berjumlah RM2.0 bilion) dan 27 Mac 2012 (pinjaman kedua yang berjumlah RM2.0 bilion) yang dijamin penuh oleh kerajaan Persekutuan.

SRC International telah mengalami situasi kewangan yang kritikal sejak tahun 2015, sehingga menyebabkan ia tidak dapat memenuhi kewajipan pembayaran pembiayaan dengan KWAP.

Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab mematuhi jadual pembayaran balik pembiayaan tersebut kerana dijamin oleh kerajaan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

"Ini membuktikan kemampuan kerajaan Persekutuan (sungguh pun terdesak dalam aspek fiskal) untuk menguruskan beban kewangan skandal 1MDB dan SRC yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu," katanya.