Lucut hak tanah yang gagal bayar cukai: Mukhriz

Mukhriz (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas mencuba aplikasi EIS dalam melihat maklumat cukai di Kedah menerusi telefon beliau. Turut kelihatan Tan (dua dari kiri) dan Mohamad (dua dari kanan).
Mukhriz (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas mencuba aplikasi EIS dalam melihat maklumat cukai di Kedah menerusi telefon beliau. Turut kelihatan Tan (dua dari kiri) dan Mohamad (dua dari kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Pentadbiran Tanah Negeri Kedah digesa agar mengambil tindakan tegas seperti melucut hak dan sebagainya dalam mengurangkan jumlah tunggakan cukai tanah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sehingga kini jumlah kutipan tertunggak adalah sebanyak RM18 juta iaitu 25 peratus daripada anggaran kutipan berjumlah RM70 juta dan berharap badan itu terus berusaha dan komited dalam kutipan tunggakan cukai tanah.

Menurutnya, sebahagian jumlah tunggakan ini datangnya dari tunggakan cukai oleh syarikat dan pemaju membabitkan 5,000 lebih hak milik iaitu berjumlah RM20 juta yang masih gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah.

"Sebanyak 1,200 hak milik iaitu sejumlah RM2.2 juta datangnya dari tunggakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Selain itu bagi tunggakan bayaran Notis 5A (Premium Tanah) terdapat 480 permohonan yang telah diluluskan pemberimilikan tanah atau bersamaan RM251 juta masih gagal dijelaskan oleh pemohon yang terdiri daripada syarikat-syarikat, pemaju, GLC dan agensi kerajaan.

"Pihak Berkuasa Negeri bercadang membatalkan kelulusan permohonan mana-mana pihak sekiranya mereka gagal menjelaskan bayaran premium tanah tersebut," katanya semasa merasmikan aplikasi Dashboard Executive Information System (EIS) di pekarangan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kedah, di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan tegas itu sebagai langkah menunjukkan kerajaan negeri memandang serius terhadap mana-mana pemilik tanah yang gagal menjelaskan bayaran cukai tanah.

Dalam pada itu, terdapat 350 Notis Tuntutan Borang 6A telah dikeluarkan Pentadbir Tanah Daerah seluruh Kedah kepada pemilik tanah yang ingkar menjelaskan tunggakan cukai yang berjumlah RM15.8 juta.

Mukhriz berkata, bagi Pentadbiran Tanah Negeri Kedah, berbagai-bagai kaedah dan inisiatif perlu dirangka bagi memperkemaskan lagi mekanisme dan strategi kutipan hasil tanah melalui sumber sedia ada, sama ada dari segi pemberimilikan tanah, kutipan ke atas tunggakan cukai tanah dan premium.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri telah menyasarkan anggaran kutipan hasil negeri bagi tahun 2019 sebanyak RM710 juta. Daripada jumlah ini, lebih daripada sebahagian anggaran kutipan hasil adalah terletak pada Pentadbiran Tanah iaitu sejumlah RM426 juta.

"Pada masa kini, Pentadbiran Tanah telah berjaya mengutip RM290 juta iaitu 68 peratus dari anggaran. Daripada jumlah ini, sejumlah RM160 juta iaitu 87 peratus adalah kutipan daripada cukai tanah berulang, daripada anggaran sebanyak RM183 juta," katanya.

Hadir sama Exco Kedah, Tan Kok Yew dan Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Datuk Mohamad Che Nai.