'Pemimpin perlu jaga sensitiviti agama, kaum masing-masing'

Dr Tan Seng Giaw
Dr Tan Seng Giaw
A
A
A

SHAH ALAM - Permusuhan di kalangan rakyat di negara ini boleh dielakkan jika semua pihak termasuk pemimpin sentiasa menjaga sensitiviti khususnya membabitkan agama dan kaum masing-masing.

Veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, ini kerana Malaysia mempunyai rakyat majmuk dan mengamalkan pemerintahan berperlembagaan, jadi soal berkaitan dua perkara itu perlu dijaga dengan sebaiknya.

Beliau berkata, Malaysia cuba mewujudkan perpaduan selama 62 tahun dan perkara itu memang rumit, malah kerajaan pula bergantung kepada pilihan raya setiap lima tahun.

Menurutnya, beliau mengambil satu contoh iaitu kepimpinan melalui teladan untuk rakyat bersatu padu, bolehkah para pemimpin semua kaum mengelakkan perkara-perkara yang boleh menyinggung bangsa, agama dan budaya lain?

"Ini sukar dilaksanakan terutamanya di tempat-tempat seperti kedai kopi, kuil, tokong dan masjid. Bolehkah perkara-perkara tersebut dijauhkan?

"Para pemimpin menghasut para pengundi dengan perkara-perkara sensitif. Selepas menang, mereka melaungkan perpaduan dan harmoni dan amalan ini diulangi setiap lima tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Katanya, negara ini mempunyai undang-undang seperti Akta Hasutan, namun berapa ramai pemimpin dihadapkan ke mahkamah?

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, piagam antara Pas dan UMNO iaitu Piagam Muafakat Nasional yang akan ditandatangani pada 14 September ini menunjukkan yang kedua-dua parti itu cuba memainkan isu kaum dan agama dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan tersebut disifatkan beliau boleh mencetuskan permusuhan dalam kalangan rakyat seperti yang berlaku di negara lain.

Seng Giaw yang juga bekas Ahli Parlimen Kepong memberitahu, untuk mencetuskan permusuhan di kalangan kaum amat mudah tetapi untuk menjaga, memerlukan kerjasama serta toleransi antara semua masyarakat termasuk peranan dimainkan pemimpin sendiri.

"Lihat saja bait-bait lagu Negaraku serta Rukun Negara, semua nilai-nilai yang baik sudah diterangkan untuk dijadikan panduan seluruh rakyat Malaysia.

"Apa yang penting, sebagai rakyat Malaysia perlu ada tanggungjawab serta rasa sayang pada negara ini. Kalau cinta pada negara jangan buat apa-apa yang boleh membangkit atau menyinggung kaum lain. Jika itu dipraktik, itulah cara untuk mencapai keharmonian dan kesejahteraan sekali gus mengelakkan permusuhan berlaku sesama rakyat negara ini," katanya.

Susulan kenyataan Dr Mahathir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin, menafikan dakwaan kononnya Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai parti itu dengan UMNO bakal mencetuskan masalah kaum dan agama di Malaysia.

Katanya, dakwaan Dr Mahathir tidak berasas kerana program Himpunan Penyatuan Ummah bersempena majlis menandatangani piagam berkenaan akan turut melibatkan kehadiran kepemimpinan daripada parti bukan Islam.