Polis tiada halangan kehadiran Dr Zakir ke Melaka

Raja Sharom Raja Abdullah
Raja Sharom Raja Abdullah
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka tidak mempunyai halangan terhadap program Malam Islam Bersatu yang bakal diadakan di Masjid Cina Melaka di Krubong pada 7 September ini yang turut dihadiri pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

Ketua Polis Negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ini kerana program tersebut hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.

"Setakat ini kita tiada halangan, sebab program itu tidak melibatkan sebarang ceramah. Kalau ceramah memang tidak dibenarkan.

"Kalau sekadar untuk program solat sunat (hajat) kita tiada halangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen kongsikan poster program berkenaan memaklumkan bahawa Dr Zakir akan menghadiri solat berjemaah dan ibadah sunat di Masjid Cina Melaka pada Sabtu ini.

Poster berkenaan juga turut memaparkan gambar Dr Zakir dan beliau sendiri selaku Pengerusi Masjid Cina Melaka.

Bagaimanapun, program tersebut dipertikai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee apabila menggesa semua pihak di Melaka mengikut semangat dan keputusan ketua menteri untuk mengharamkan pendakwah berkenaan daripada berceramah di negeri berkenaan.

Menurut Chee Yee yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, walaupun Zakir tidak berceramah pada majlis itu namun beliau merupakan individu yang menimbulkan kontroversi antara masyarakat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN pertikai program jemput Dr Zakir Naik