Sembilan ditahan dalam operasi ambang Merdeka

Sepasang kekasih (barisan tengah) yang ditahan dibawa keluar dari bilik disewa mereka untuk siasatan lanjut.
Sepasang kekasih (barisan tengah) yang ditahan dibawa keluar dari bilik disewa mereka untuk siasatan lanjut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Dua remaja perempuan ditahan dalam keadaan mengaibkan bersama tiga remaja lelaki di dalam sebuah chalet disewa mereka di Marang, kelmarin.

Turut ditahan dua pasangan kekasih selepas disyaki berkhalwat atau berdua-duaan bersama pasangan bukan mahram dalam operasi khas sempena sambutan ambang merdeka.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Zuhaiza Ismail berkata, mereka ditahan dalam serbuan berasingan di 12 hotel dan chalet serta rumah tumpangan di sekitar Marang.

Beliau berkata, operasi pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah bermula jam 11 malam hingga 7 pagi itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62.

Katanya, operasi itu membabitkan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Marang dengan kerjasama JHEAT dan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rhu Rendang, Marang.

"Menerusi beberapa serbuan dilakukan itu, kami menahan seramai sembilan individu berusia antara 16 hingga 42 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

"Penahanan semua individu itu dilakukan mengikut Seksyen 29 dan 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Nik Zuhaiza turut menasihatkan masyarakat Islam terutama ibu bapa supaya lebih prihatin dalam mengawasi anak mereka dan menjauhi perbuatan tidak bermoral serta menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Artikel Berkaitan: