Kontinjen Kedah johan keseluruhan pertandingan MISS

Peserta yang menjuarai pertandingan bergambar bersama trofi masing-masing.
Peserta yang menjuarai pertandingan bergambar bersama trofi masing-masing.
A
A
A

ALOR SETAR - Kontinjen Kedah selaku tuan rumah dinobatkan sebagai johan keseluruhan kategori menengah rendah pertandingan Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah (MISS) Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat kebangsaan kali keenam, baru-baru ini.

Ketua Jurulatih pertandingan MISS, Basri Ismail berkata, pertandingan melibatkan wakil seluruh negara termasuk kontinjen dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ini diadakan selama empat hari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah.

Katanya, terdapat tujuh acara dipertandingkan melibatkan kategori menengah rendah dan menegah atas iaitu Hiwar, Kalimatus Sobah, kuiz bahasa Arab, kuiz Ilmu Wahyu, hafazan, hafazan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) dan Qiraat Sab’aah wal Tarannum.

"Pelajar tingkatan dua dari SMK Agama Kedah, Wan Atiqullah Wan Ahmad Noradin mewakili Kedah dinobatkan sebagai Johan Qiraat Sab’aah wal Tarannum kali ini," katanya.

Menurut Basri, turut membanggakan apabila tiga pelajar SMK Agama Kedah menjuarai pertandingan kuiz bahasa Arab bagi kategori menengah rendah.

"Terima kasih kepada pihak Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar serta Pengetua SMK Agama Kedah, Mahir Mohamad di atas kepercayaan yang diberi serta sokongan yang menggalakkan dalam menyediakan pasukan kali ini.

"Komitmen pelajar yang sanggup berkorban masa dan tenaga sepanjang mengikuti latihan pusat juga amat memuaskan hati barisan jurulatih.

"Kejayaan kontinjen MISS kali ini telah mengharumkan nama SMK Agama Kedah khasnya selaku tuan rumah serta negeri Kedah amnya di peringkat Kebangsaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan ini telah disempurnakan Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.